KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan dua pemandu lori kerana disyaki mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tong drum di atas lori masing-masing tanpa permit, di sini pada Jumaat.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 6 pagi ketika sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Gambang.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya turut menyita 1,231 liter minyak diesel bersubsidi yang diisi dalam lapan tong drum di atas lori tersebut.
"Dua lori jenis satu dan tiga tan itu turut disita untuk siasatan lanjut.
"Anggaran keseluruhan nilai rampasan lebih RM47,800," katanya.
Jezlily berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan itu hasil operasi Ops Tiris dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Pahang di sekitar Jalan Gambang di sini.
"Ketika melakukan rondaan, anggota penguat kuasa terlibat melihat dua lelaki sedang mengisi minyak ke dalam tong drum yang berada di atas lori dalam keadaan mencurigakan.
"Pasukan penguat kuasa bertindak menahan dua pemandu lori itu dan hasil pemeriksaan kedua-duanya gagal mengemukakan permit kebenaran daripada KPDN," jelasnya.
Beliau berkata, susulan kes itu, KPDN Pahang membuka tiga kertas siasatan termasuk ke atas pemandu lori dan stesen minyak kerana menjual kepada individu yang tidak memiliki permit kebenaran yang sah.
"Kes di siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan individu yang ditahan bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan polis.
"KPDN memberi amaran keras terhadap individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan," ujarnya.
Tambah beliau, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961
"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," jelasnya.