BUKIT MERTAJAM - Dua kanak-kanak yang menghidapi masalah jantung berlubang memerlukan ihsan dan sumbangan RM190,000 dari orang ramai bagi menjalani pembedahan segera untuk menyelamatkan nyawa mereka.
Lim Jia Liang, 7, dan Akid Muqri Shazwan, 9 yang masing-masing berasal dari Segamat dan Akid Muqri dari Johor Bahru perlu melakukan prosedur itu seperti yang disarankan oleh pakar perubatan.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Akid Muqri yang lahir tidak cukup bulan turut dikesan dengan masalah jantung semasa dalam kandungan.
Menurutnya, Akid Muqri telah menjalani pembedahan jantung pada usia tujuh bulan dan dua tahun.
"Sepatutnya dia juga dijadualkan dengan pembedahan berikutnya ketika berusia lima tahun, tetapi perut dan diafragmanya terlalu dekat dengan jantung sehingga pembedahan ditangguhkan beberapa kali.
"Masalah jantung kompleks menyebabkan masalah kekurangan oksigen dalam jangka masa panjang apabila paras oksigen dalam darahnya hanya sekitar 60 hingga 85 peratus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Tambahnya, kanak-kanak itu akan mengalami sesak nafas apabila berjalan lama selain bibir dan jarinya menjadi kebiruan.
Selain masalah itu, katanya, Akid Muqri turut mempunyai masalah perkembangan fizikal, pertumbuhan mental dan lambat dalam pelajaran.
Beliau berkata, bapa Akid Muqri, Shazwan Sairan, 37 tahun seorang penjawat awam, manakala ibunya, Noor Fadzlin Johar, 36 tahun seorang suri rumah.
Sementara itu, Sui Hau berkata, seorang lagi pesakit, Jia Liang pula mempunyai harapan untuk membesar dan menjalani kehidupan seperti rakan-rakan lain yang sihat.
Katanya, dia disahkan mengalami masalah jantung semasa dalam kandungan malah Jia Liang mengalami masalah ventrikel kanan double-socket (DORV) dan ventricular septal defect (VSD) serta arteri pulmonari.
"Ketika berusia dua bulan, Jia Liang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman dan jantungnya berhenti seketika kerana kesilapan memberi ubat.
"Dia bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya diselamatkan dan membesar sehinggalah menjalani pembedahan jantung ketika berusia empat bulan," katanya lagi.
Sui Hau menambah, pada penghujung tahun lalu, doktor memaklumkan bahawa sudah tiba masanya untuk Jia Liang menjalani pembedahan membuka ikatan pembalut arteri pulmonari dan menutup lubang di jantungnya.
Namun jelasnya, kanak-kanak itu memerlukan bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan itu apabila ibu bapanya mempunyai banyak komitmen termasuklah anak perempuan berumur tiga tahun.
Bapanya, Lim Ee Hwa, 42 tahun bekerja sebagai tukang masak di Singapura dan ibunya, Chan Jing Fen, 36 tahun baru sahaja menyertai syarikat insurans sebagai pekerja am.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma buat Jia Liang dan Akid Muqri, boleh menyalurkan terus ke dalam akaun One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 (Public Bank Berhad).
Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192 atau layari onehopecharity.org.