SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif dan konstruktif secara menyeluruh bagi menangani isu kualiti perkhidmatan telefon selular atau mudah alih sedia ada yang semakin merosot.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, isu yang dihadapi itu bukan sahaja mengecewakan pengguna, malah turut memberi gambaran negatif terhadap negara yang ingin kembali gemilang dalam pelbagai bidang terutamanya sektor pelaburan dan pelancongan.
"Isu ini sudah berlarutan lebih dari empat tahun dan akhir-akhir ini UNI-MLC telah menerima ratusan aduan daripada ahli Kesatuan Gabungan mengenai isu liputan perkhidmatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamed Shafie berkata, di sebalik usaha memperkenalkan liputan perkhidmatan 5G, kualiti perkhidmatan telefon selular atau mudah alih sedia ada semakin merosot dan amat mengecewakan.
Menurutnya, situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana kualiti perkhidmatan telefon sepatutnya lebih baik atau sama seperti sebelum sistem liputan 5G diperkenalkan.
"Malangnya kualiti perkhidmatan telefon mudah alih pada hari ini amat mengecewakan dan tidak selari dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
"Kualiti panggilan semakin hari semakin merudum. Pengguna sering berhadapan dengan situasi panggilan terputus dengan ketara, selain kualiti panggilan juga tidak memuaskan, dan bertentangan dengan janji kualiti produk oleh syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai pasaran global yang memacu ke arah kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang, usaha dalam aspek pendigitalan mencerminkan keutamaan kerajaan ke arah kepuasan pengguna sekaligus memperkasakan ekonomi negara.
"Pengguna mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu bagi memulihkan keyakinan para pengguna terhadap setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengguna di samping mengharapkan penambahbaikan kualiti perkhidmatan di sektor telekomunikasi dan multimedia khususnya.
"UNI-MLC pasti Kementerian Digital mempunyai jawapan kepada keadaan yang mengecewakan jutaan pengguna.
"Kerajaan tidak boleh hanya mengatakan bahawa kajian sedang dan akan dijalankan untuk mencari penyelesaian,” jelasnya.