KLANG - Sebuah kilang papan dipercayai dijadikan markas kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sini digempur petang tadi.
Hasil serbuan dijalankan oleh sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama tujuh anggota dan pegawai di kilang itu menemui sebanyak 700 tong gas LPG bersubsidi yang disimpan untuk dipasarkan secara tidak sah.
Ketua Sesyen Kawalan Bekalan KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, rampasan itu merupakan antara yang terbesar membabitkan sindiket penyelewengan LPG bersubsidi di Selangor tahun ini.
Menurutnya, operasi dilakukan membabitkan KPDNHEP Selangor dan Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya yang melakukan intipan sejak seminggu lalu.
"Hasil serbuan jam 4 petang itu, pihaknya mendapati kilang papan itu menjadi markas kegiatan pemindahan gas LPG dari tong LPG subsidi ke tong LPG industri.
"Hasil pemeriksaan, kami menemui 280 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) setiap satu selain 420 tong LPG seberat 40kg setiap satu.
"Turut dirampas sebuah lori 10 tan," katanya selepas Operasi Barang Kawalan Gas Cecair Petroleum di sini petang tadi.
Katanya, pihaknya turut merampas peralatan digunakan sindiket antaranya hos paip termasuk ais digunakan untuk memindahkan gas.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM100,000. Semua tong LPG itu disita untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pihak KPDNHEP memandang serius kes penyelewengan gas LPG subsidi berikutan ia sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
"Sindiket biasanya mengaut keuntungan apabila LPG subsidi diseleweng itu dijual semula pada kilang, restoran dan pihak industri pada harga tinggi.
"Kes disiasat Seksyen 21 Akta bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," katanya.
Katanya, KPDNHEP Selangor sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan memberi amaran tegas kepada mana-mana pengusaha LPG untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Pengusaha dinasihatkan mematuhi undang-undang ditetapkan seperti memastikan mempunyai lesen yang sah sekiranya berurus niaga berkaitan barangan kawalan ini termasuklah memastikan buku stok diselenggara dengan baik.
"KPDNHEP melalui peruntukan undang-undang sedia ada akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pengusaha LPG ini agar penyelewengan dapat dibendung," katanya.