PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mencatatkan aliran fiskal cemerlang apabila meningkatkan lagi kemampanan dana dan kemampuan pembayaran faedah kepada Orang Berinsurans (OB) termasuk tanggungan (PERKESO) kepada RM5.73 billion pada 2023 berbanding RM5.1 billion tahun sebelumnya (2022).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Kong berkata, perkara tersebut sekali gus menjadikan prestasi kewangan (PERKESO) bagi tahun 2023 sebagai yang terbaik sejak ditubuhkan pada tahun 1971 dengan anggaran lebihan mencecah RM1.8 billion dan peningkatan sebanyak 50 peratus.
Menurutnya, peningkatan sebanyak 50 peratus atau 1.5 kali ganda berbanding tahun sebelumnya adalah antara faktor pendorong pada penyampaian terbaik hasil pendapatan caruman dan penguatkuasaan yang menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 14 peratus serta peningkatan pendapatan pelaburan kasar kepada 27 peratus dengan ROI (pulangan pelaburan) melebihi enam peratus.
"Prestasi kewangan yang baik dan ruang fiskal lebih dinamik membolehkan PERKESO menampung pemerluasan faedah dan menyuntik pelaburan semula bagi tujuan penerapan pelbagai teknologi demi manfaat dan capaian perkhidmatan dalam kalangan pencarum.
"Selain itu, PERKESO juga digalakkan untuk meneroka bentuk perlindungan baharu seperti perlindungan di luar kerja (no fault accident) selain memperkasa mutu tadbir yang mampan dan universal," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Kesuma Madani Tahun Baharu Cina pada Jumaat.
Pada program berkenaan, seramai 145 penerima melibatkan 40 ibu tunggal, 90 anak yatim dan 15 penerima faedah dari sekitar negeri ini turut menerima angpau dan sumbangan hamper yang secara keseluruhannya bernilai RM164,696.
Sementara itu, dalam majlis sama, pihak PERKESO turut melancarkan modul tambahan iaitu aplikasi Prihatin dalam usaha memudahkan OB berurusan dengan PERKESO.
Difahamkan, aplikasi Prihatin yang baharu ditambah baik ini akan membolehkan pengguna menyemak dan memuat turun penyata caruman, pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), pengiraan faedah, memperolehi informasi umum dan akses ke Sahabat Prihatin.
Aplikasi ini akan dikemaskini bagi 2024 meliputi Rehab Navigator iaitu penghantaran barangan perubatan termasuk produk lindung dan pasaran keselamatan sosial.
Portal Matrix PERKESO yang kini dikenali sebagai laman web Prihatin juga akan ditambah baik agar ia memiliki fungsi yang sama melalui laman web.