Perpaduan sedia ada GRS-PH perlu diteruskan

Iklan
Armizan (tengah) bersama Wanita GRS pada Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 1A, di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini pada Sabtu.

KOTA MARUDU - Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berpandangan perpaduan sedia ada antara GRS dengan Pakatan Harapan (PH) perlu diteruskan dalam pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.

Iklan
Iklan

Namun menurutnya, Sabah dan Sarawak mempunyai formula masing-masing di mana pada hakikatnya kerajaan negeri Sabah pada hari ini adalah sebuah kerajaan Perpaduan dengan acuan sendiri melibatkan gabungan GRS-PH Plus.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak wajar timbul soal kerajaan negeri tidak ikut atau sebaliknya mengenai formula Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

Iklan

"Pertama, Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani melalui Kerajaan Perpaduan Malaysia pada 16 Disember 2022 adalah untuk penubuhan kerajaan Persekutuan sahaja.

"Tidak ada dalam MoU tersebut yang berbicara tentang mana-mana kerajaan negeri, apatah lagi mewajibkan komposisi yang sama dibentuk di peringkat negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 1A, di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata, keduanya pula komposisi kerajaan Sabah hari ini iaitu GRS-PH Plus dibentuk selepas pembentukan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Inilah formula kerajaan Perpaduan di Sabah, kerajaan GRS-PH Plus. Ia terbentuk pasca 'kudeta' yang gagal. Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS, semua ADUN PH dan beberapa ADUN daripada parti lain membuat keputusan supaya Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan GRS amat menghargai sokongan dan kebersamaan mereka.

"Ketiga, pembentukan sesebuah kerajaan tidak seharusnya berdasarkan faktor ikut-ikutan atau paksaan, tetapi hasil muafakat dan saling kepercayaan.

"Sekiranya sesebuah parti tidak selesa bekerjasama dengan GRS dan dizahirkan dengan cubaan 'kudeta', tidak adil dan tidak wajar untuk memaksa mereka untuk memilih GRS hanya kerana faktor kewujudan kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

"Di pihak GRS, kita juga mahu mengelakkan risiko sejarah berulang. Tiba pilihan raya, kita mahu membentuk kerajaan yang stabil melalui permuafakatan. Bukan sahaja GRS perlu percaya kepada rakan kongsi, tetapi mereka juga perlu selesa dan yakin dengan kita," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28