Beras Madani: Pastikan pengumuman bukan sekadar cadangan - Ka Siong

Iklan
Ka Siong (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Ayer Hitam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng di bangunan MCA Yong Peng pada malam Jumaat.

BATU PAHAT - Kerajaan perlu memastikan pengumuman mengenai sesuatu perkara termasuk beras tidak sekadar cadangan bagi mengelak kegusaran dan kekeliruan.

Presiden MCA, Datuk Sri Wee Ka Siong berkata, bekalan beras merupakan perkara yang amat sensitif kerana ia adalah keperluan utama rakyat negara ini.

Iklan
Iklan

"Bukan mudah bagi golongan ini untuk berhadapan kenaikan secara serentak apabila tarif elektrik dan cukai SST juga akan dinaikkan pada Februari dan Mac ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Ayer Hitam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng di bangunan MCA Yong Peng pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman berkaitan Beras Putih Madani Malaysia sebelum ini yang kemudiannya ditukar sebagai cadangan susulan kerajaan belum membuat ketetapan (satu gred beras putih).

Iklan

Dalam pada itu, Ka Sion yang Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, kerajaan perlu mencari mekanisme bersesuaian untuk mengatasi masalah bekalan beras putih ini dengan melakukan tindakan yang boleh meyakinkan rakyat.

Jelasnya, semua yang berlaku ini akan menyebabkan golongan berkenaan terpaksa mencari alternatif atau kaedah lain untuk mencukupkan kos sara hidup sama ada menjadikan makanan lain yang lebih murah sebagai pengganti beras atau mengurangkan penggunaan keperluan itu.

Iklan

"Bagi menangani masalah ini, kerajaan perlu mencari satu kaedah bagi memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi dan pada masa sama melakukan tindakan yang tidak membebankan rakyat.

"Bekalan beras adalah satu yang amat sensitif kerana ia adalah keperluan utama rakyat negara ini, melakukan tindakan sama ada menaikkan atau menurunkan harga pasti akan memberikan kesan kepada rakyat khususnya golongan B40," katanya.

Pada Sabtu, kerajaan dilaporkan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata, sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat, mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam sidang media dilaporkan berkata tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28