PKNS tumpu kawasan rekreasi, komersial bangun projek perumahan

Iklan
Mahmud (kiri) dan wakil BSN menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang yang menyertai Kempen Pembiayaan Perumahan BSN MyHome/i pada Majlis Pelancaran Galeri Jualan dan Rumah Teres Ixora, Antara Gapi pada Sabtu.

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memulakan program transformasi projek perumahan di kawasan bandar dengan memberi tumpuan kepada pembinaan kawasan rekreasi dan komersial sejak dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, PKNS mengambil satu pendekatan baharu bagi memberi pilihan dan tawaran kepada pembeli untuk menikmati gaya hidup lebih selesa dengan persekitaran lebih kondusif.

Iklan
Iklan

"Besar harapan kami untuk memberi kemudahan dan cita rasa dan persekitaran yang baharu kepada pembeli rumah PKNS dengan kawasan rekreasi dan komersial," katanya.

Mahmud (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Galeri Jualan dan Rumah Teres Ixora, Antara Gapi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Galeri Jualan dan Rumah Teres Ixora, Antara Gapi pada Sabtu.

Iklan

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah kepada tiga pemenang yang menyertai Kempen Pembiayaan Perumahan BSN MyHome/i bermula Julai hingga Oktober tahun lalu.

Proses cabutan telah dibuat pada awal Disember tahun lalu dalam kalangan pelanggan PKNS yang mendapatkan pembiayaan pinjaman daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan semua pemenang menerima baucar barangan Samsung keseluruhannya berjumlah RM15,000.

Iklan

Mahmud memberitahu, PKNS mengambil perhatian terhadap perubahan cita rasa dan menyediakan produk mengikut kehendak pembeli.

"Jika dahulu, pembeli membeli sebuah rumah dan di situlah mereka tinggal dan tidak ada kawasan lain, tetapi pada tahun kebelakang ini, kita dapati cita rasa pembeli sudah berubah.

"Pembeli pada masa sekarang membeli di kawasan yang dapat memenuhi keperluan mereka seperti sekolah, tempat membeli belah, rumah ibadah dan rekreasi," jelas beliau.

Tambahnya, pendekatan itu turut bertujuan memberikan kemudahan setaraf dengan projek perumahan mewah di Lembah Klang kepada pembeli rumah PKNS pada harga jauh lebih rendah.

Mahmud menjelaskan, projek Ixora Antara Gapi yang dibangunkan PKNS terletak di lokasi strategik dan mudah diakses melalui beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Guthrie, Lebuhraya Rawang Bypass dan Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangora (LATAR) dan Jalan Persekutuan Rawang - Tanjung Malim.

Selain itu, katanya, jarak perjalanan ke Kuala Lumpur hanyalah sejauh 36 kilometer (km) dan ke Pekan Tanjung Malim pula sejauh 15 km.

Mahmud (empat dari kanan) bergambar semasa melawat Rumah Teres Ixora, Antara Gapi, pada Sabtu.

"Oleh demikian, kita beri alternatif untuk mereka membeli rumah PKNS di Antara Gapi ini yang dikatakan jauh tetapi sebenarnya dekat dengan Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pelancaran projek perumahan Ixora Antara Gapi, Mahmud menjelaskan, projek perumahan dua tingkat di kawasan seluas 3.6 hektar itu dijangka memulakan pembinaannya pada April depan.

Beliau memberitahu, rumah itu dibina bercirikan reka bentuk moden kontemporari berlatarkan kehijauan landskap terutama bagi yang menginginkan keterangan jauh dari hiruk pikuk kota.

"Projek fasa satu ini mempunyai 90 unit ini dengan nilai pembangunan kasar RM57 juta dijangka siap pada tahun 2026.

"Projek perumahan ini dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air itu juga memiliki tempat letak kereta yang luas serta kemudahan rekreasi dilengkapi dengan hiasan landskap menarik," ujarnya.

Katanya, kelebihan projek itu kerana terletak berhampiran dengan pelbagai kemudahan seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Antara Gapi, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, kawasan komersial, kedai serbaneka seperti serta pasar raya.

"Segala kemudahan ini pastinya menjadi faktor utama yang diberi perhatian oleh bakal pembeli sebelum membuat keputusan untuk membeli sesebuah kediaman serta hartanah," tambah Mahmud.

Jelas beliau, pada masa ini, rumah ini mendapat permintaan luar jangkaan apabila menerima 300 peratus permohonan berbanding hanya terdapat 90 unit pada masa ini.

"Pada sekarang ini, kita sudah menerima 400 pendaftaran untuk memiliki unit Ixora dan ini menunjukkan pembeli berminat memiliki kediaman di kawasan ini," katanya.