Rezeki ikan susu, pesara tentera menang RM12,000

Iklan
Zulkefli (tengah), Mohd Rashidi (kiri) dan Mohammad Afiq Afifi bersama ikan serta hadiah masing-masing dalam Pertandingan Santai Pancing anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu.

PORT DICKSON - Rungutan seorang isteri pesara tentera terhadap hobi suaminya yang suka memancing pastinya akan berubah selepas ini apabila lelaki terbabit berjaya membawa pulang RM12,000 dalam pertandingan memancing di Pantai Cahaya Negeri dekat sini pada Sabtu.

Zulkefli Amir, 55, berjaya menaikkan ikan susu seberat 3.090 kilogram(kg) sekali gus memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Santai Pancing anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson.

Iklan
Iklan

Bapa kepada empat anak itu hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum ikan tersebut sangkut pada mata pancingnya dengan hanya menggunakan umpan udang.

Menurutnya, dia tidak menyangka penyertaannya dalam pertandingan memancing kali ini membawa tuah meskipun tidak mendapat 'izin' isterinya.

Iklan

"Jadi sebab itulah saya diam-diam sahaja masuk pertandingan ini. Tapi Alhamdulillah kali ini dapat durian runtuh pula dan rasanya selepas ini mesti isteri saya tak bising lagi dengan hobi memancing saya ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, dia mula terlibat dalam acara memancing selepas bersara pada tahun 2010 tetapi tidak pernah memenangi hadiah lumayan sebegitu.

Iklan

Disebabkan itu katanya, dia jarang memberitahu isterinya setiap kali menyertai sebarang pertandingan memancing kerana tahu yang isterinya tidak suka.

Seramai 500 peserta terlibat dalam pertandingan memancing dianjurkan anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu.

"Kali ini betul-betul jadi kejutan untuk isteri dan wang tunai yang saya dapat ini akan saya hadiahkan kepada dia untuk pergi menunaikan umrah," katanya.

Ujarnya, dia mempunyai koleksi 12 batang joran yang keseluruhannya dianggarkan berharga RM9,000.

Tambahnya, jika ada masa terluang, menjadi rutinnya setiap minggu untuk pergi memancing bersama kawan-kawan di sekitar Port Dickson.

"Tapi tiada seorang pun anak-anak saya yang minat memancing. Nampaknya selepas ini tiada masalah lagilah saya nak pergi memancing," katanya.

Pada pertandingan itu, seramai 500 kaki pancing seluruh negara ‘berkampung’ di Port Dickson bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM28,800 yang ditawarkan.

Tempat kedua menjadi milik peserta dari Port Dickson, Mohd Rashidi Mohd Yaakob, 32, yang menaikkan ikan ebek seberat 870 gram dan tempat ketiga milik peserta dari Melaka, Mohammad Afiq Afifi Mohd Zaidi, 28, dengan ikan daun baru seberat 820gram

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,000.

Sementara itu pertandingan berkenaan dilepaskan oleh Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin Makli pada jam 9 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28