PASIR GUDANG - Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sejumlah RM63.5 juta bagi usaha-usaha baik pulih 20 flat yang didapati agak uzur di sekitar negeri.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor, kesemua peruntukan berkenaan akan digunakan bagi menambah baik 13 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tujuh Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang kini didiami seramai 14,500 penghuni.
Malah katanya, segala usaha penambahbaikan tersebut berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.
"Di peringkat kerajaan negeri, Menteri Besar telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM8 juta bagi membaik pulih bumbung dan cat baharu... bagi kerja-kerja lain ia melibatkan kos keseluruhan RM9.9 juta.
Mohd Jafni berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Program Pemerkasaan Komuniti RSK Cendana Pasir Gudang, di sini, pada Sabtu.
Untuk rekod, terdapat lebih 100 flat awam dan kebanyakannya masalah dialami di peringkat Perbadanan Pengurusan (MC) yang berdepan kesukaran mengutip bayaran penyelenggaraan.
Sementara itu, Mohd Jafni berharap agar komuniti atau penghuni di mana-mana flat awam bagi memberikan kerjasama kepada jawatankuasa yang dilantik terutamanya bagi kutipan bulanan bagi menampung kos penyelenggaraan.
Katanya, tanpa kerjasama tersebut, ia akan memberikan kesan pihak jawatankuasa yang dilantik bagi menangani pelbagai permasalahan seperti kerosakan lif, bumbung bocor, sistem kumbahan tersumbat.
"Kerajaan negeri dan Persekutuan tiada bajet yang besar untuk selesaikan isu ini yang akhirnya ia akan berbalik kepada komuniti itu sendiri.
"Sebab itu saya nak nasihatkan juga kepada semua penghuni flat-flat awam ni, untuk mereka beri kerjasama kepada Jawatankuasa yang dilantik, sebab akhirnya mereka sendiri berdepan kesukaran apabila tiada peruntukan untuk membaik pulih kemudahan yang rosak.
"Akhirnya, ia akan jadi isu kepada kerajaan walaupun sebenarnya kalau ikutkan dasar yang ada, pihak komuniti atau MC menggunakan bayaran yang dikutip setiap bulan untuk menampung kos penyelenggaraan dan sebagainya,” katanya.