PERCATURAN pasukan wanita India untuk mempertaruhkan pemain sensasi remaja, Anmol Kharb pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 nyata berbaloi, apabila juara kebangsaan itu menyumbang mata kemenangan untuk menempah tiket final bertemu Thailand, esok.
Pada aksi penuh dramatik yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City itu menyaksikan, India menewaskan Jepun 3-2 hari ini, namun pemain perseorangan, Pusarla V Sindhu gagal menjadi penyumbang mata pertama apabila tewas 13-21 dan 20-22 kepada Aya Ohori.
Namun kehadiran beregu, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela unggul menyamakan kedudukan, apabila mereka menumpaskan pasangan keenam dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 21-17, 16-21 dan 22-20, sebelum Ashmita Chaliha yang berada di kedudukan ke-53 dunia, hanya memerlukan 43 minit untuk menewaskan pemain ke-20 dunia Nozomi Okuhara, 21-17 dan 21-14.
Bagaimanapun, pasangan kedua India Ashiwini Ponnappa-Pusarla V Sindhu, ditewaskan ketika berhadapan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto, 14-21 dan 11-21.
Anmol, 17, menjadi penentu kemenangan apabila langsung tidak gentar berhadapan pemenang pingat perak Terbuka Irish 2022, Natsuki Nidaira untuk memenangi perlawanan, 21-14 dan 21-18.
Sementara itu, Anmol yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, sokongan rakan sepasukan menaikkan semangat beliau untuk mempamerkan aksi luar biasa, pada penampilan sulungnya dalam kejohanan peringkat senior.
"Sebenarnya ia perlawanan penting kerana kedudukan 2-2, tetapi tekanan tidak terletak pada saya sebab saya hanya pemain remaja...Saya gembira dapat menang untuk pasukan dan layak ke final esok.
"Saya agak yakin (layak ke final) kerana kita telah kalahkan kuasa besar seperti China dan Jepun.
"Pada masa ini saya pasukan saya akan menang gelaran di sini.
"Saya yakin tetapi tidak terlebih yakin,” katanya yang pada ketika ini ranking ke-472 dunia.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir hari ini menyaksikan Thailand mengejutkan juara bertahan, Indonesia 3-1 untuk bertarung pada aksi final esok.
Tiga mata itu disumbangkan menerusi pemain perseorangan Supanida Katethong ke atas Putri Kusuma Wardani, 21-17 dan 21-19 diikuti pasangan, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai yang menumpaskan Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto, 22-20 dan 21-14.
Turut membantu ialah beregu kedua Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard yang mengenepikan cabaran Amallia Cahaya Pratiwi-Rachel Allessya Rose, 24-22 dan 21-14. - Bernama