PERDANA Menteri Thailand, Srettha Thavisin berkata beliau akan memastikan penghibur tahap atas atau 'gred A' akan mengadakan konsert di Thailand pada masa akan datang.
Kenyataan itu dibuat selepas berita Taylor Swift hanya akan singgah di Singapura, satu-satunya destinasi Asia Tenggara dalam The Eras Tour.
Bercakap di iBusiness Forum 2024 bertajuk"Membentuk Semula Thailand untuk Masa Depan Mampan", Srettha berkata, beliau maklum dengan persoalan rakyat Thailand tentang mengapa Swift tidak datang ke Thailand dan terpaksa terbang ke Singapura untuk menyaksikan konsertnya yang akan berlangsung selama enam hari bermula 2 Mac.
Tiket untuk kesemua enam tarikh konsert Swift di Stadium Nasional Singapura yang berkapasiti 55,000 tempat duduk, habis terjual.
Srettha mendakwa jawapan kepada persoalan itu ialah kerana kerajaan Singapura memberi subsidi AS$2 juta hingga AS$3 juta (500 juta baht) bagi setiap persembahan.
"Penghibur seperti Taylor akan dapat menarik penaja dan pelancong ke Thailand. Walaupun 500 juta baht itu untuk konsert, tetapi industri pelancongan, malahan peniaga di tepi jalan (akan mendapat manfaat),” katanya.
Srettha menambah bahawa beliau meletakkan akhir tahun ini sebagai sasaran kerana musim konsert perlu dirancang lebih awal.
Pada tahun 2014, Swift dijadualkan mengadakan konsert di Impact Arena Muang Thong Thani, tetapi kemudiannya membatalkan konsert tersebut, yang tiketnya telah habis dijual.
Pihak Swift tidak memberikan alasan mengapa konsert tersebut dibatalkan. - Agensi/Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28