Saya tak tahu punca ramai tinggalkan parti - Amir Hariri

Iklan
Amir Hariri. Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengakui tidak tahu menahu tentang tindakan ramai ahli yang meletak jawatan dan meninggalkan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana ahli untuk meninggalkan parti sekiranya mereka mempunyai prinsip dan perjuangan berbeza.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Muda telah memberikan ruang yang mencukupi kepada semua ahli untuk memberikan sebarang pandangan atau cadangan melalui platform dalam talian dan secara bersemuka.

"Saya tak tahu apa yang berlaku sebenarnya tetapi bagi saya semua orang bebas dan ada hak demokrasi untuk memilih serta bersama-sama dengan mana-mana parti malah Muda hormati keputusan mereka.

Iklan

"Kalau tak nak pun (bersemuka), boleh nyatakan secara dalam talian tetapi jika masih lagi tidak bersetuju, mereka ada hak dan Muda juga tidak pernah mengambil sebarang tindakan kalau mereka keluar,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Sebelum ini, pemilik akaun @rombakMUDA mendakwa beberapa ahli pimpinan tertinggi Muda meletakkan jawatan dalam masa seminggu.

Iklan

Menurut akaun itu, hampir 10 ahli dalam masa sebulan meletakkan jawatan atas sebab peribadi dan juga didakwa tidak berpuas hati dengan hala tuju parti dalam tempoh beberapa tahun ini.

Tambah Amir Hariri, Muda ketika ini sedang melakukan proses rejuvenasi parti untuk mengembalikan semangat moral yang merudum dalam kalangan ahli.

"Moral ahli agak jatuh disebabkan beberapa perkara seperti peletakan jawatan presiden iaitu individu paling berpengaruh dalam parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana mahu membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah.

"Selain itu, Muda juga berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mana saya akui tewas dengan agak teruk dan ini beri kesan terhadap moral dan semangat ahli yang berjuang dalam parti dan akhirnya mencari haluan lain.

"Sebab ini kami cadangkan proses tersebut untuk membangunkan semula parti yang mana kita ada lebih 80,000 ahli di atas kertas,” ujarnya.