SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya mengkaji semula kelemahan perkhidmatan di setiap hospital kerajaan bagi memastikan tempoh menunggu dan prosedur rawatan pesakit kanser dapat dikurangkan.
Itu reaksi orang ramai terhadap kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa tempoh menunggu seseorang pesakit kanser bagi mendapatkan rawatan di fasiliti KKM sekurang-kurangnya mengambil masa paling lewat sebulan.
Bekas pesakit kanser, Sarina Sidek, 42, berkata, berdasarkan pengalamannya, sememangnya tempoh menunggu janji temu untuk hospital kerajaan terlalu lama sehingga menyebabkan ada pesakit lambat mendapat rawatan dan meninggal dunia.
"Apabila disahkan menghidap kanser pangkal rahim pada tahun 2021, saya terus mendapatkan rawatan di hospital swasta. Saya memilih untuk tidak meneruskan perubatan di hospital kerajaan kerana sudah mendengar pelbagai rungutan daripada rakan-rakan yang menghadapi masalah ketika berurusan di sana.
"Bagi saya, kerajaan perlu mengutamakan pesakit kronik seperti kanser kerana tak semua orang mampu tampung kos rawatan hospital swasta. Lagipun mereka tak boleh tunggu lama sebab kanser akan merebak,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Suri rumah, Farazawani Md Fikri, 41, turut berkongsi pengalaman sepanjang menjaga arwah bapanya yang menghidap kanser limfoma dan prostat.
Menurutnya, kerajaan perlu menambah bilangan kakitangan di semua hospital bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit lebih berkualiti.
"Kadang-kadang waktu menunggu juga lama untuk dapatkan rawatan dan boleh nampak kakitangan hospital tidak cukup tangan menjaga pesakit.
"Selain itu, doktor atau jururawat di hospital sentiasa mengulang soalan sama mengenai maklumat pesakit seolah-olah belum pernah diberikan kepada pihak mereka. Ini menunjukkan sistem hospital masih belum cukup baik,” ujarnya.
Turut berkongsi pandangan, Muhammad Tawfik Mohd Bakhri, 35, yang bekerja sebagai penjawat awam.
Dia mencadangkan agar kerajaan supaya menambah bilangan doktor pakar bagi setiap jenis penyakit kanser di semua hospital kerajaan.
"Langkah itu perlu dilakukan bagi memudahkan proses mengenal pasti jenis kanser yang dihadapi oleh pesakit lebih awal dan mempercepatkan rawatan diberikan kepada pesakit,” katanya yang sebelum ini menghidap kanser testis.
Pelajar, Nurul Nabila Murahafi, 20, pula mencadangkan supaya KKM menambah jumlah bilangan bilik rawatan kimoterapi agar pesakit dapat berehat dengan selesa.
Ujarnya, suasana yang kondusif dan tenang tanpa sebarang tekanan atau gangguan adalah penting sepanjang proses merawat pesakit.
"Sepanjang menjaga arwah ibu di hospital kerajaan, dari segi rawatan bersama doktor pakar sangat bagus, tetapi jumlah bilik rawatan terlalu sedikit.
"Pesakit yang baru menjalani rawatan kimoterapi mempunyai daya tahan rendah dan mudah terdedah dengan kuman, jadi bilik yang menempatkan pesakit perlu selesa serta luas,” katanya.
-- INFO
5 jenis kanser tertinggi di Malaysia (mengikut jantina)
Lelaki
1. Kolorektal (kolon atau usus)
2. Paru-paru
3. Nasofarinks (dikenali sebagai kanser hidung)
4. Hati
5. Prostat
Perempuan
1. Payudara
2. Kolorektal
3. Serviks (pangkal rahim)
4. Ovari
5. Korpus uteri