JURULATIH Arsenal, Mikel Arteta tidak dapat menyembunyikan rasa gembira di atas kejayaan The Gunners membelasah Burnley 5-0 dalam usaha mencabar Liverpool untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas Liverpool menang bergaya 4-1 ke atas Brentford, The Gunners tampil garang di Turf Moor untuk meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam liga.
Arteta memuji karakter anak-anak buahnya yang dahagakan jaringan ketika mereka dilihat enggan cepat berpuas hati dengan penguasaan permainan sejak akhir-akhir ini.
"Amat gembira dengan aksi menakjubkan pemain. Ia hasil sumbangan individu dan kolektif setiap pemain. Ia sangat bagus," katanya.
Arsenal ketika ini menghuni tangga kedua, dua mata di belakang Liverpool dalam misi The Gunners memburu kejuaraan pertama EPL sejak 2004.
The Gunners dilihat berada dalam keghairahan untuk meledak banyak gol sejak kembali dari kem latihan musim sejuk di Dubai.
Mereka membelasah Crystal Palace 5-0, menang 2-1 di Nottingham Forest, menewaskan Liverpool 3-1 dan membenam West Ham 6-0 sebelum menghukum pasukan bawahan Burnley.
"Hakikatnya pasukan kelihatan mahukan lebih gol lagi. Mereka tidak berpuas hati.
"Mereka mahu menjaringkan lebih lagi, mereka tidak mahu melepaskan gol. Saya benar-benar gembira untuk mencipta tahap konsisten sebegini," ujar Arteta.
Dalam aksi itu, Martin Odegaard membuka tirai jaringan selepas empat minit sebelum Bukayo Saka mengukuhkan kedudukan dengan dua gol diikuti jaringan Leandro Trossard dan Kai Havertz dalam aksi menakjubkan Arsenal di depan gawang gol lawan.