KUALA LUMPUR - Sekretariat Anak Pahang berperanan sebagai platform kerajaan negeri bagi menangkis fitnah dan persepsi tidak benar yang dimainkan pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat yang tinggal di luar negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekretariat yang ditubuhkan bulan lalu itu juga berperanan menyalurkan maklumat tepat mengenai pentadbiran kerajaan negeri.
"Seramai 92,000 anak Pahang di Lembah Klang kini mempunyai tempat untuk mereka berurusan iaitu di pejabat sekretariat di Tingkat 6 Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).
"Kita dapat salurkan maklumat yang tepat sebagai contoh, anak-anak Pahang yang menunaikan haji kita beri RM750, sebelum itu kita beri RM500.
"Untuk mahasiswa dan mahasiswi juga tahun lepas kita beri RM300, tahun ini kita tambah kepada RM400, jadi maklumat itu tepat,” katanya ketika sidang akhar selepas merasmikan Larian Tok Gajah Kuala Lumpur di sini pada Ahad.
Wan Rosdy berkata, pelbagai sentimen direka pihak tertentu antaranya penafian berhubung kejayaan kerajaan Pahang mampu mengurangkan hutang daripada RM3.3 bilion kepada RM952 juta.
"Pihak belah sana (pembangkang) seolah-olah menafikan, kata MB (menteri besar) tipulah, mana boleh (selesai hutang) dalam masa yang singkat tetapi itulah hakikatnya angka tidak boleh berbohong.
"Jadi bila seketariat ini diwujudkan, anak-anak Pahang tidak terkeliru lagi dengan mainan persepsi dan fitnah,” ujarnya.
Mengulas mengenai Larian Tok Gajah Kuala Lumpur yang diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang disertai oleh 2,000 anak perantauan Pahang, Wan Rosdy berkata, program sebegini dapat mengeratkan hubungan silaturahim anak- anak Pahang yang berada di luar negeri itu.
"Saya percaya ini bukan yang pertama dan juga bukan yang terakhir. Kita akan buat dari semasa ke semasa,” katanya.
Difahamkan acara larian itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM) itu bermula kira-kira pukul 7 pagi melibatkan jarak antara lima dan tujuh kilometer mengelilingi di ibu kota.