'Tiada lesen, bagi alasan ganti pekerja cuti'

Iklan
Ops Khas Bersepadu dijalankan di Olak Lempit, Banting, pada Sabtu. Foto JPJ Selangor

BANTING - Ganti pekerja cuti antara alasan diberi pemandu kenderaan komersial selepas ditahan kerana tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) di Jalan Banting-Dengkil, Olak Lempit, di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, Ops Khas Bersepadu bermula jam 9 pagi itu dijalankan JPJ Cawangan Banting dan Stesen Penguatkuasa Banting dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi dengan bantuan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat itu telah mengeluarkan 163 saman atas pelbagai kesalahan.

Azrin

"Antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen GDL, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal.

Iklan

"Sebuah lori yang dipandu lelaki warga asing tanpa dokumen diri telah disita oleh pihak polis," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Katanya, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Cawangan Banting, Zamri Omar itu menyasarkan pemeriksaan semua jenis kenderaan dan turut menjalankan advokasi keselamatan jalan raya.

"Pelbagai alasan diberi pemandu yang melakukan kesalahan tiada lesen memandu antaranya cuma menggantikan pekerja yang cuti. Ada juga yang beri alasan tidak perasan ketika didapati cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Tegasnya, JPJ Selangor dengan kerjasama agensi penguat kuasa akan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan dan advokasi kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.