SINTOK - Orang ramai dinasihatkan melantik kontraktor berlesen untuk pengubahsuaian dan pembinaan rumah kerana tindakan boleh diambil sekiranya syarikat tersebut menghilangkan diri.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mangsa penipuan syarikat tersebut juga boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah jika mempunyai maklumat yang lengkap.
Bagaimanapun katanya, jika kontraktor luar atau warga asing dilantik dengan tujuan menjimatkan kos, pihaknya tidak dapat bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
"Kalau kita mahu membaiki atau membina rumah, hendaklah gunakan kontraktor berlesen dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
"Mereka ada nama, alamat, kalau mereka lari buat hal boleh ambil tindakan.
"Kalau tidak siapkan projek misalnya, kita boleh ambil tindakan sama ada lesen digantung atau ditarik balik.
"Tapi kalau kita menggunakan kontraktor tidak berlesen, mereka hilang bawa duit deposit dan sebagainya, itu diri kita sendiri dipersalahkan kerana kami pun sukar untuk mengambil tindakan. Itu dah jadi kes polis,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas laporan khas Sinar Harian pada Rabu berhubung kes penipuan bina rumah yang semakin menjadi-jadi sehingga sekumpulan mangsa mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.
Terdahulu, Ahmad hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama pelatih ABM dan CIDB Tech Wilayah Utara selain melihat fasiliti dan kemudahan pengajaran di pusat tersebut, di sini.
Dedah pelatih TVET ABM dengan keusahawanan
Sementara itu, Ahmad berkata, pelatih Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu didedahkan dengan dunia usahawan selaras dengan aspirasi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Beliau berkata, ia bertujuan memastikan pelatih bukan sahaja memiliki kemahiran bekerja dalam sektor pembinaan tetapi juga pendidikan berkaitan keusahawan yang membekalkan pengetahuan, sekali gus keupayaan menjalankan perniagaan sendiri.
Menurutnya, dalam menyiapkan pelatih-pelatih ke arah itu, usaha turut dilakukan melibatkan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan hadir untuk memberikan input-input keusahawanan kepada pelajar TVET di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, di sini.
"Saya kira untuk melatih bakal usahawan adalah salah satu hala tuju penting yang ingin disyorkan kepada CIDB dan ABM untuk diadakan,” katanya.
Ahmad berkata lagi, modul latihan tambahan berkaitan usahawan tersebut akan memberikan nilai tambah kepada setiap pelatih dan tempoh sebenar modul berkenaan akan dibincangkan bersama dengan UUM kelak.
Jelasnya, lima lagi cawangan ABM juga akan melalui perkara sama dan melibatkan universiti yang berada berhampiran dengan mereka.
"Paling tidak ABM juga boleh memanggil bekas pelatih untuk berkongsi pengalaman membuka syarikat dalam pelbagai bidang TVET dan itu mungkin sebahagian daripada modul latihan keusahawanan,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata, lebih RM51 juta dibelanjakan untuk membekalkan latihan kemahiran pembinaan kepada 12,000 belia dan personel binaan melalui enam buah ABM dan CIDB Tech di seluruh negara pada tahun 2023.
Menurutnya, lebih 100 bidang kemahiran ditawarkan di seluruh negara dan antara yang mendapat permintaan tinggi di wilayah utara adalah gas pipe fitter, wireman single phase, air conditioning and mechanical ventilation, scaffold erection dan plant operation.
"Untuk ABM Wilayah Utara sahaja, seramai 12,000 pelatih telah menjalani latihan di dalam pelbagai kemahiran dari tahun 2018 hingga 2023.
"Bagi pencapaian 2023 pula, lebih 2,000 belia dan personel binaan telah dilatih dengan peruntukan sebanyak RM7.6 juta, kata beliau.