TAIPING - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri di Dataran Warisan Taiping di sini pada Ahad.
Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 2.30 petang itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Pada sambutan itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menggaul 'yee sang' sebagai simbolik sambutan perayaan berkenaan sebelum menyampaikan ang pau kepada anak yatim.
Tetamu juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan antaranya tarian naga dan persembahan tarian daripada Kumpulan Selendang Perak.
Saarani dalam ucapannya berkata, semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat dan ikatan perpaduan perlu dieratkan agar keamanan serta keharmonian yang dibina dapat dikekalkan.
"Elakkankanlah perbuatan atau tutur kata yang boleh menimbulkan rasa curiga dan prasangka, hindarilah isu-isu yang boleh meniup api kebencian dan permusuhan. Sama-samalah kita menolak sentimen yang boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan.
"Perhimpunan pada petang ini membuktikan keharmonian dan kerukunan rakyat berbilang kaum yang sentiasa berusaha mengekalkan semangat toleransi dan hormat menghormati, mengetepikan perbezaan serta meraikan kepelbagaian demi kelangsungan sebuah negara yang aman dan warganya tegap bersatu padu," katanya.
Beliau berkata, walaupun banyak petunjuk ekonomi membayangkan 2024 akan menjadi tahun yang mencabar, semua pihak perlu bersikap optimis dan berganding bahu memperkuatkan asas-asas ekonomi negeri.
"Saya percaya dengan semangat kerukunan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat serta jalinan kerjasama yang sangat baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kita dapat membangunkan sebuah negeri yang aman dan stabil supaya rakyat tanpa mengira kaum dapat terus berkongsi rezeki, berkongsi kemakmuran dan berkongsi kejayaan bersama-sama.
"Seluruh anggota pentadbiran kerajaan akan terus berusaha memelihara kestabilan, mengangkat polisi negeri yang berkemajuan supaya setiap misi, gagasan dan sasaran digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat jayakan," katanya.
Lebih 5,000 pengunjung mengunjungi dataran bagi meraikan sambutan itu bermula jam 2 petang hingga 5 petang.