Musim kemarau tidak jejas aktiviti tanaman padi - MADA

Iklan
Foto hiasan.

ALOR SETAR - Musim panas dan kering yang melanda Kedah tidak memberi kesan terhadap tanaman padi terutamanya di kawasan Muda.

Menurut Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), pihaknya sentiasa siap siaga sekiranya keadaan El-Nino ini berlarutan sepertimana dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Iklan
Iklan

"Prestasi kemajuan tanaman padi musim 2/2023 sehingga hari ini ( Ahad) telah mencatatkan aktiviti tanam mencapai 99.3 peratus melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar.

"Bagi peringkat berbunga sebanyak 80.3 peratus dengan keluasan 80,831 hektar, padi masak sebanyak 38.0 peratus dengan keluasan 38,282 hektar dan sebanyak 12.1 peratus (12,208 hektar) padi telah dituai di Kawasan Muda," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, jumlah takungan ketiga-tiga empangan turut berada pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan sumber air pengairan untuk aktiviti tanaman padi musim 2/2023 di kawasan Muda.

"Kapasiti takungan empangan adalah seperti berikut, Empangan Pedu adalah sebanyak 627,500 ekar kaki bersamaan 71.71 peratus, Empangan Muda sebanyak 91,000 ekar kaki bersamaan 72.80 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 209,524 ekar kaki bersamaan 93.96 peratus.

Iklan

"Jumlah takungan ketiga-tiga empangan adalah sebanyak 928,024 ekar kaki bersamaan 75.88 peratus," katanya.

Jelasnya, berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati fenomena El-Nino atau cuaca kering yang sedang berlaku diramal berlarutan sehingga Jun depan.

"Jumlah turunan hujan di kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12mm berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 47mm.

"Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi musim 2/2023 yang dijangka selesai pada penghujung Mac ini," ujarnya.

Menurut kenyataan itu, bagi menghadapi musim cuaca kering, pihak MADA tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera.

"Antaranya adalah dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi mereka menjimatkan air dari empangan serta menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim 2/2023 selesai sepenuhnya," jelasnya.

Menurutnya, para peladang juga dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.