Rusia sorok mayat Alexei Navalny?

Iklan
Ibu dan peguam Navalny didakwa tidak dibenarkan untuk melihat mayatnya. - Foto: Agensi

MOSCOW - Penyokong kepada pengkritik lantang Kremlin menuduh pihak berkuasa Rusia sebagai 'pembunuh' dan mahu menutup jejak mereka dengan tindakan menyembunyikan mayat Alexei Navalny yang dipercayai telah dibunuh setelah cubaan meracun beliau gagal sebelum ini.

Navalny dilaporkan meninggal dunia pada usia 47 tahun di penjara terpencil IK-3 di Bulatan Artik pada Jumaat setelah aktivis antirasuah itu meringkuk selama lebih tiga tahun atas beberapa siri tuduhan termasuk penggelapan wang dan menghina mahkamah.

Iklan
Iklan

Beberapa pemimpin Barat turut menuding jari menyalahkan kematian beliau didalangi oleh Kremlin sebagai cubaan menyekat pengaruh tokoh pembangkang itu, kira-kira sebulan sebelum Pilihan Raya Presiden berlangsung selain mengukuhkan kedudukan Presiden Vladimir Putin untuk terus memegang kuasa.

Pada Sabtu, Lyudmila yang merupakan ibu Navalny mendedahkan dia tidak dibenarkan melihat mayatnya dan ia hanya akan diserahkan kepada keluarga apabila prosedur post-mortem selesai.

Iklan

Pegawai penjara mendakwa laporan awal bedah siasat tidak dapat memberikan sebarang keputusan tentang punca sebenar kematiannya.

Kematian secara tiba-tiba itu turut mencetuskan siri protes hingga menyebabkan lebih 340 ditahan di 30 bandar seluruh negara.

Iklan

Penerima Hadiah Nobel Keamanan di Rusia, Dmitry Muratov berkata, beliau percaya mangsa dibunuh setelah diseksa mental dan fizikal selama 36 bulan.

Beberapa lokasi turut didirikan tugu peringatan sementara buat Navalny dan salah satu nota yang ditinggalkan bersama jambangan bunga tertera 'Kematian Navalny adalah perkara paling buruk berlaku kepada Moscow'.

Susulan tuduhan yang semakin meningkat, Kementerian Luar dalam satu kenyataan menolak penilaian berat sebelah dan tidak realistik berhubung punca kematian Navalny yang terus dipersalahkan ke atas Kremlin. - Agensi

Info:

>Pada 20 Ogos 2020, Navalny pernah diracun dengan agen saraf Novichok ketika menaiki penerbangan dari Tomsk ke Moscow. Beliau dilaporkan jatuh sakit secara tiba-tiba dimasukkan ke hospital di Omsk selepas pesawat melakukan pendaratan cemas. Navalny dipindahkan ke Hospital Charite di Berlin, dua hari kemudian. Selepas keadaannya pulih dan sedar dari koma, beliau mendakwa Putin bertanggungjawab terhadap insiden itu.

>Pendakwa raya Rusia enggan melancarkan siasatan atas alasan tiada bukti jenayah berlaku dan Kremlin menafikan penglibatan mereka dalam kejadian itu dan menuduh Navalny menjadi ejen Agensi Risikan Pusat (CIA).