Keunikan ondel-ondel, sumber hiburan dan rezeki di jalanan

Iklan
Sebuah kostum gergasi yang dikenali sebagai Ondel-Ondel, dipakai oleh seorang penghibur jalanan ketika tinjauan di sekitar ibu kota Jakarta baru-baru ini. - Foto Bernama

JAKARTA - Di sebalik keunikan kostum patung gergasi 'Ondel-Ondel' yang menjadi tarikan kepada pelancong dalam mendekati seni budaya masyarakat suku Betawi, figura legenda itu turut menjadi sumber pendapatan bagi penghibur jalanan di Jakarta, Indonesia.

Malah, sepanjang keberadaan pemberita di kota raya ini sempena lawatan delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, kehadiran Ondel-Ondel di lokasi tumpuan pelancong menjadi sebahagian elemen yang mewarnai keunikan dan kemeriahan suasana.

Iklan
Iklan

Terdapat dua versi Ondel-Ondel iaitu lelaki dengan ciri-ciri muka dicat merah dan bermisai serta versi wanita yang menampilkan wajah warna cerah dan dihiasi 'gincu' merah lambang kewanitaan.

Kostum patung gergasi setinggi dua meter itu akan bergerak di sekitar kawasan bandar sambil melakukan pertunjukan dan tarian mengikut alunan muzik bagi menambat hati orang ramai sekali gus berkongsi rezeki kerana di sebalik keunikan seni yang dibawa Ondel-Ondel, ia turut menjadi sumber pendapatan kepada penghibur jalanan tersebut.

Iklan

Bagi penghibur jalanan, Muhammad Yahya, 30, memakai kostum bermotifkan figura legenda seberat 20 kilogram itu, menjadi sebahagian daripada rutin hariannya dalam mencari rezeki untuk membesarkan anaknya yang masih bersekolah.

Anak kelahiran Betawi itu berkata, kostum tersebut dibuat sendiri menggunakan bahan-bahan seperti buluh, dawai, resin plastik, kain dan cat dengan kos kira-kira 1 juta rupiah (RM305).

Iklan

"Ondel-Ondel ini sangat berat dan panas di dalamnya kerana ia tertutup (diselebungi kain), malah bahu saya sudah beberapa kali cedera kerana menampung berat kostum ini. Saya pernah memakainya selama lapan jam demi mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan sekolah anak.

"Biasanya saya boleh dapat kira-kira 60,000 rupiah (RM18) sehari tetapi ikut nasib juga kerana ada waktunya kutipan tak sampai 30,000 rupiah (RM9). Duit inilah saya gunakan untuk perbelanjaan harian keluarga," katanya ketika ditemui Bernama di sekitar Jalan KH Wahid Hasyim di sini.

Yahya berkata, dia akan melakukan persembahan mengikut alunan muzik yang dimainkan menerusi pembesar suara bersaiz mini yang diikat pada kostum tersebut, di lokasi tumpuan sambil ditemani anak lelakinya Rafar Muhammad Yahya yang berusia sembilan tahun.

Penghibur jalanan mengenakan kostum gergasi yang dikenali sebagai Ondel-Ondel berjalan mengelilingi kawasan tumpuan bagi menghiburkan orang ramai dengan tarian mengikut alunan muzik yang dimainkan menerusi pembesar suara bersaiz mini ketika tinjauan di sekitar ibu kota Jakarta baru-baru ini. - Foto Bernama

Berkongsi suka duka menjadi penghibur jalanan, dia mengakui pernah beberapa kali mengalami kemalangan akibat dilanggar kenderaan daripada belakang semasa memakai kostum Ondel-Ondel hingga mengalami kecederaan.

"Saya pernah dilanggar hingga tertanggal kuku jari kaki, luka teruk di bahagian lengan dan patah kaki akibat dilanggar kereta. Apabila berlaku insiden seperti itu, saya sangat susah hati kerana tidak dapat keluar mencari rezeki.

"Paling sedih ialah ketika hujan dan guruh apabila melihat anak saya yang masih kecil itu iktu basah kuyup. Saya hanya mampu menangis dalam hati, ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya waktu itu, namun saya reda dan teruskan juga demi mencari rezeki," katanya yang lebih sembilan tahun mencari rezeki dengan memakai kostum gergasi tersebut.

Ketika ditemui Bernama, Rafar kelihatan begitu teruja melihat sesi foto yang dilakukan bersama ayahnya dan membuatkan dia bercita-cita untuk turut menjadi jurnalis apabila dewasa nanti.

Secara umumnya, Ondel-Ondel mempunyai ciri-ciri hiasan tersendiri seperti bunga manggar yang dijadikan mahkota, sabut kelapa sebagai rambut dan terdapat ruang kecil di bahagian dada kostum itu bagi membolehkan pemakainya melihat keadaan di hadapan.

Terdahulu, pada hari pertama lawatan ISWAMI, pemberita dan jurufoto Bernama berhadapan 'detik cemas' apabila dikejar dua patung gergasi itu semasa berjalan di sekitar Thamrin City pada waktu malam, bagaimanapun pengalaman itu akhirnya menjadi momen manis dalam menghayati keunikan seni dan budaya di Indonesia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28