SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan kesemua majikan di Malaysia untuk memberi bantuan sebulan gaji sebagai persediaan hari perayaan.
Presidennya, J Solomon berkata, pemberian berkenaan akan memperkasakan pekerja golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dalam meraikan sambutan serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan merentasi pelbagai agama bagi memaparkan kekayaan sebenar Malaysia.
"Memandangkan kos sara hidup semakin tinggi pada 2024, ditambah pula dengan peningkatan keuntungan dinikmati pihak majikan, penarikan bantuan perayaan jelas sesuatu yang tidak dapat dijustifikasikan.
"Kita mesti melindungi hak pekerja untuk kehidupan memuaskan, yang turut termasuk menyambut kekayaan budaya kita tanpa bebanan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada tahun 2023, beliau berkata, kerajaan Selangor bermurah hati memberikan sebulan gaji sebagai bantuan perayaan untuk pekerja dan perkara itu merupakan satu tindakan yang patut diraikan.
Tambah Solomon, hasil pembelaan berterusan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan bank-bank turut memberikan bantuan serupa kepada pekerja mereka.
"Bagaimanapun, tindakan menarik balik sokongan itu tahun ini, walaupun telah ada perjanjian sebelum ini, amat mengejutkan dan membingungkan.
"Tindakan itu seperti meremehkan manfaat asas pekerja dan arahan jelas PMX untuk mementingkan kebajikan pekerja.
"Ini terutamanya dilihat apabila kebanyakan syarikat berkenaan, termasuk Syarikat Berkait Kerajaan (GLC) yang menikmati keuntungan tinggi dan sebahagiannya boleh saja dikongsikan sebagai bantuan perayaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Indonesia menunjukkan contoh luar biasa, apabila mewajibkan pemberian sebulan gaji sebagai bantuan perayaan untuk pekerjanya.
Jelas Solomon, amalan berkenaan amat membantu khususnya pekerja berpendapatan rendah, dengan memastikan semangat perayaan terus dirasai tanpa dibelenggu kebimbangan kewangan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28