KUALA TERENGGANU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk diperluaskan sehingga lima kilometer (km).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, setakat 10 pagi ini mangsa, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, masih belum ditemukan.
"Keadaan ombak yang bergelora menyukarkan operasi menyelamat namun kita tetap meneruskan pencarian mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurutnya, seramai 64 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) meneruskan operasi SAR pada hari kedua.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kegembiraan empat sekeluarga berkelah di Pantai Batu Buruk dekat sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira jam 11.20 pagi Ahad.
Isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata, suaminya Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dihanyutkan ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai.