SEMINGGU ini, terutamanya pada musim cuti panjang akhir penggal persekolahan, ibu bapa yang mempunyai anak-anak lelaki yang masih belum berkhatan akan mula sibuk mempersiapkan diri anak-anak untuk melakukannya.
Terdapat pelbagai ragam dan drama anak-anak biasanya dapat dilihat sebelum, semasa dan selepas berkhatan. Ada yang mencuit hati dan kadang kala ada yang menyebabkan ibu bapa pening kepala.
Bagaimanapun, timbul persoalan di sebalik gelagat dan telatah itu, apakah hukum-hakam berkaitan amalan berkhatan ini?
Sinar Islam berkongsi beberapa hukum berkaitan dengan amalan berkhatan yang telah dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim AS lagi.
Soal jawab hukum berkaitan khatan:
1. Apakah hukum berkhatan bagi lelaki dan wanita?
Hukum berkhatan bagi lelaki dan wanita Muslim mengikut mazhab Syafie adalah wajib berdasarkan Firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nahlu ayat 123:
"Kemudian Kami wahyukan kepada kamu (Muhammad): Hendaklah kamu menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah dia dari orang-orang musyrik."
Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:
- Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
- Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation (FGM).
2. Bolehkah berkhatan dengan doktor bukan Islam?
Hukum mendapatkan rawatan dari doktor pakar bukan Islam adalah harus sekiranya berhajat kepada kepakarannya dan sukar untuk mendapatkan doktor pakar muslim.
3. Bolehkah berkhatan di masjid atau surau?
Melakukan khatan kanak-kanak di dalam masjid adalah dilarang.
4. Apakah hukum bagi lelaki yang melakukan khatan dengan tidak sempurna dan masih ada lebihan kulit di bahagian zakar serta menutupi sebahagian kepala zakar?
Khatan merupakan suatu kewajipan untuk dilaksanakan oleh setiap orang islam. Hal ini kerana hikmah pensyariatan khatan adalah untuk menjaga kesucian dan kebersihan secara luaran mahupun dalaman apabila memotong kulit zakar yang menutupi hasyafah.
Oleh itu, kaedah khatan yang betul dan mengikut syarak bagi seorang lelaki Muslim adalah dengan memotong kulit yang ada pada bahagian zakar sehingga menampakkan keseluruhan hasyafah.
5. Apakah hukum khatan bagi wanita jika ada darurat seperti pendarahan yang teruk?
Dalam masalah ini, apabila doktor atau pakar perubatan mengesahkan bahawa sekiranya dilakukan khatan itu, akan menyebabkan pendarahan yang teruk, maka kami berpendapat tidak perlu untuk berkhatan.
Walaupun berkhatan itu adalah wajib, tetapi apabila terdapat kes-kes tertentu yang tidak dapat dilakukan, maka kami memilih untuk mengatakan tidak perlu berdasarkan pendapat jumhur yang mengatakan khatan wanita adalah sunat.
*Sumber rujukan: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.