KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menolak dakwaan yang menyatakan Rahmatan Lil Alamin adalah untuk kepentingan politik pemerintahan terkini semata-mata sebaliknya ia adalah dasar negara.
Mujahid berkata, dasar pentadbiran Islam yang baharu itu bermula apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan Pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah Dalam Pentadbiran Negara pada 4 Julai lepas dan mendapat kelulusan Kabinet pada Oktober.
"Apabila Majlis Raja-Raja telah bersetuju, ini bermakna ia bukan daripada mana-mana parti tetapi untuk keperluan negara, kita juga dapat persetujuan di peringkat Kabinet, ini menunjukkan gagasan berkenaan memberi kepentingan kepada semua pihak termasuk bukan Islam.
"Namun saya tidak dapat mengelak orang ramai untuk terus beranggapan sedemikian, itu di luar kemampuan saya, tetapi dalam konteks kapasiti, saya tidak mahu melihat ini sebagai kepartian, kekelompokan atau usaha politik,” katanya ketika menjadi tetamu 'Bicara Naratif: Menuju Negara Rahmah' yang disiar secara langsung di saluran TV1 RTM malam tadi.
Dasar Rahmatan Lil Alamin yang diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Oktober lalu dijangka dilaksanakan bermula tahun ini dan usaha mempromosi dasar yang menekankan elemen keamanan dan kemakmuran untuk semua kelompok masyarakat itu akan dilakukan melalui peruntukan RM10 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020.
Selain itu Mujahid berkata, penubuhan dan pengoperasian Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bermula September lepas adalah usaha kerajaan untuk membela kaum wanita yang terpaksa melalui tempoh panjang dalam menuntut hak mereka.
"Kami juga cuba usahakan langkah penguatkuasaan (selepas keputusan mahkamah), kenapa kita fikir penguatkuasaan hanya tangkap orang khalwat sahaja, tetapi kita tidak pernah fikir langkah penguatkuasaan di mahkamah yang sudah ada keputusan tetapi tiada penguatkuasaan,” katanya.
Jelasnya, penubuhan mahkamah itu adalah pencapaian kementerian yang digariskan dalam kluster perundangan dan kehakiman, iaitu satu daripada kluster pencapaian yang digariskan dalam Kad Laporan Jabatan Perdana Menteri (Agama) bertemakan ‘Menuju Negara Rahmah’ yang dibentang baru-baru ini.
Kluster lain dalam kad laporan itu ialah dakwah dan media; pendidikan dan modal insan; halal dan tabung haji; masjid; maqasid dan penyelidikan; serta sosio-ekonomi.
Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah antara lain diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas membayar nafkah bekas isteri serta dijangka dapat mempercepatkan proses penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian serta hak penjagaan anak yang difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. - Bernama