KUANTAN - Pemuda Pas Pahang kecewa dengan tadbir urus Kerajaan Madani dalam menangani krisis bekalan dan penetapan harga beras dalam negara.
Ketua Pemuda negeri, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, kegagalan komunikasi antara kementerian, agensi yang bertanggungjawab dan pemegang taruh, ibarat 'indah khabar daripada rupa'.
Menurutnya, ia juga menyerlahkan kegagalan Kerajaan Madani menangani isu tersebut.
"Kegagalan memastikan bekalan beras tempatan bagi memenuhi permintaan rakyat adalah siri kebobrokan kerajaan ini yang hanya sekadar menanam tebu di tepi bibir.
Ujarnya, semakin jelas kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini masih gagal membela nasib rakyat terutama dalam memenuhi keperluan asas rakyat seperti bekalan dan kawalan harga beras mahupun gula.
Jelasnya, di peringkat Pemuda Pas Pahang, mereka mendesak agar Kerajaan Madani khususnya PMX dan menteri yang bertanggungjawab agar segera menyelesaikan isu ini dengan kadar segera demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
"Kami juga menggesa pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap pandangan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu yang mendesak Kerajaan Madani mengeluarkan satu Kertas Putih mengenai isu bekalan beras ini agar rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh kerana ia merupakan keperluan asas rakyat negara ini.
"Cukup-cukuplah dengan wayang dan formula yang 'ke laut', hanya indah khabar daripada rupa umpama 'gajah terbang ke bulan bintang' namun rakyat terus menerus hidup dalam sengsara dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan mereka," tambahnya.