NIOSH peruntuk RM12 juta perkasa pertolongan cemas kesihatan mental

Iklan
Steven (dua dari kiri) melawat tapak pameran selepas merasmikan Persidangan Dan Pameran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-24 (COSH) Dan Persidangan Saintifik Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-6 (SCICOSH) pada Isnin. Foto ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Institut Keselematan dan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperuntukkan RM12 juta untuk memperkasakan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan di tempat kerja dan sektor awam seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia (KSM), Steven Sim Chee Keong berkata, setakat ini pihaknya menyasarkan 10,000 pekerja akan diberi latihan secara percuma berkaitan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan bermula tahun ini.

Iklan
Iklan

"Kita berharap penyertaan bukan sahaja bukan sahaja di peringkat sektor swasta tetapi juga peringkat sektor awam di mana kita akan melatih individu-individu yang mampu memberikan intervensi awal di tempat kerja terutama kepada rakan sekerja yang menghidapi masalah mental," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-6 (SCICOCH 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir Pengerusi NIOSH, Chien Jen dan Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Steven berkata, syarikat yang terlibat dalam program selama tiga hari ini layak mendapat tuntutan kadar bayaran levi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Steven (tengah) merasmikan Persidangan Dan Pameran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-24 (COSH) Dan Persidangan Saintifik Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-6 (SCICOSH). Foto ROSLI TALIB

Iklan

"Kesihatan mental yang lebih baik akan membawa kepada produktiviti yang lebih baik.

"Inisiatif ini juga mampu memperkukuh budaya positif dalam organisasi terbabit kerana ia membuktikan sikap prihatin majikan terhadap kesejahteraan mental pekerja," katanya.

Menurutnya, selain aspek keselamatan dan kesihatan bentuk fizikal, isu berkaitan psikososial juga perlu diambil berat kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan penyakit mental bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor utama untuk menentukan sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau sebaliknya.

"Statistik Penyakit Pekerjaan Negara Tahun 2022 menunjukkan hanya satu kes psikososial dilaporkan sepanjang tahun lepas berbanding penyakit pekerjaan lain seperti gangguan pendengaran (5,478 kes), muskuloskeletal (678kes), penyakit disebabkan agen biologi seperti jangkitan kuman (420 kes), penyakit disebabkan agen fizikal seperti terjatuh (339 kes), keracunan (185kes), penyakit paru-paru (20 kes), penyakit kulit (15 kes) dan lain-lain penyakit (6 kes).

"KSM mengambil serius isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja ini dan sedang membangunkan dasar berkaitan dengan melibatkan semua pemegang taruh termasuk agensi-agensi kerajaan,majikan, pekerja, pengamal KKP, persatuan dan badan bukan kerajaan," ujarnya.

Sebelum ini NIOSH telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Pekerja (EAP) bertujuan mengenalpasti dan menangani masalah kesihatan mental pekerja di peringkat awal agar prestasi mereka di tempat kerja tidak terjejas.