120kg ganja diseludup guna laluan laut

Iklan
Nor Izah (tengah) menunjukkan 120 ketulan mampat ganja yang dirampas dalam serbuan Khamis lalu.

ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas 120 kilogram (kg) dadah jenis ganja dipercayai diseludup dari negara jiran dengan menggunakan laluan laut.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abdul Latiff berkata, sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam Alor Setar telah mengesan sebuah bot nelayan jenis sampan ketika pemantauan pada jam 2.45 pagi di Jalan Persisiran Sungai Berembang Kuala Perlis, Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan bot yang dipercayai berasal dari negara jiran tanpa nombor pendaftaran berada berhampiran Jeti LKIM Sungai Berembang sebelum dilihat memunggah enam karung guni yang diletakkan di gigi air.

"Setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasaan, bot tersebut telah memecut laju meninggalkan kawasan tersebut. Kita percaya karung guni itu akan diambil rantaian sindiket selepas kerja pemunggahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Iklan

Nor Izah berkata, hasil pemeriksaan terhadap enam karung guni tersebut, pihaknya menemui 120 ketulan mampat dadah jenis ganja.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

"Saya percaya ganja dari negara jiran ini dibawa masuk secara haram melalui jalan laut dengan menggunakan bot nelayan untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

"Kita juga percaya dadah ini akan diedarkan di kawasan pesisir pantai Kuala Perlis/Kuala Sanglang untuk pasaran tempatan dan boleh memenuhi permintaan 600,000 penagih dadah,” ujarnya.