KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebat setelah disabitkan kesalahan berkhalwat di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Pindaan 2022 yang baharu dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu.
Hakim Syarie Hamidi Shafie memerintahkan tertuduh, Mohd Affandi Awang, 42, dikenakan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini, pada Isnin.
Hukuman berkenaan dikenakan ke atas tertuduh kerana melakukan kesalahan khalwat kali kedua.
Sebelum ini buruh tersebut pernah disabitkan bersalah di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Pindaan 2001 pada 11 Julai 2023 dan dihukum denda RM2,700 atau tiga bulan penjara.
Tertuduh juga berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut seksyen tersebut selepas pindaan seksyen tersebut diluluskan.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di tingkat tiga di sebuah premis beralamat di Jalan Penghiburan, Kemaman kira-kira jam 1.10 pagi pada 25 Januari lalu.
Mengikut fakta kes, buruh tersebut bersama seorang perempuan berusia lingkungan 30-an berada di dalam bangunan kosong yang sedang dalam proses baik pulih.
Pendakwaan tersebut dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Sementara itu, dalam penghakimannya, Hamidi berkata, hukuman dikenakan terhadap lelaki itu berikutan ia merupakan kesalahan kali kedua dilakukannya dalam tempoh tidak sampai satu tahun.
"Diharap hukuman ini dapat memberi pengajaran yang berguna kepada kamu dan peringatan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak sesekali terjebak dan berani untuk melakukan kesalahan khalwat ini" katanya.