SYDNEY - Sekumpulan wanita Islam di Australia tampil membantu dengan menyediakan masakan untuk anggota bomba yang bertugas dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran di sini.
Mereka dari Newport, Victoria, pinggir bandar Melbourne bersama sukarelawan juga membantu mengisi barangan keperluan termasuk makanan ke dalam lima trak.
Bukan itu sahaja, mereka juga perlu menempuh perjalanan selama lebih dari empat jam untuk menyampaikan makanan kepada anggota petugas, menurut Pegawai Perhubungan Awam Pusat Islam Australia, Rashid Elhouli kepada CNN.
Wanita juga memasak sarapan pagi untuk 150 anggota bomba ketika mereka tiba di Johnsonville.
Seorang anggota bomba, Rodney Baylis, mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan kerana sudi menghulurkan bantuan selain menyediakan makanan kepada para petugas.
Pusat Islam Australia menggunakan platform media sosial untuk menguar-uarkan aktiviti mereka kepada orang ramai di samping mengutip derma untuk membantu mangsa kebakaran.
Hasil wang derma akan disalurkan kepada mangsa kebakaran selain menyediakan makanan kepada anggota bomba.
ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran dahsyat: Australia peruntuk dana RM5.7 bilion
Antara barangan yang berjaya dikumpul seperti produk kebersihan wanita, botol air, susu, lampin pakai buang untuk bayi dan buah-buahan segar.
Sebelum ini tular di laman sosial mengenai wanita Islam turun padang menyediakan makanan kepada anggota bomba bertugas bagi memadamkan kebakaran di sini.
Rata-rata netizen memberi sokongan dan berharap lebih ramai lagi Badan Bukan Berkanun untuk sama-sama membantu mangsa kebakaran tidak terkecuali anggota petugas.
Kata Candan,"Terima kasih atas usaha ini, ia sungguh bagus!."
"Moga bomba dilindungi ketika bertugas. Anda sungguh berani dan terima kasih kerana berusaha tanpa kenal erti putus asa." kata Noriah Amri.