KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Mutang Tagal yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20, hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Anwar berharap bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Menurut Anwar, pelantikan Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
"Pelantikan ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengiktiraf dan memastikan ruang suara, pandangan dan perwakilan daripada setiap kalangan rakyat, termasuk orang Ulu di Parlimen,” katanya.
Mutang menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.
Pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara yang berlangsung hari ini, Anwar mengemukakan nama Mutang yang merupakan calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih ke jawatan itu.
Mutang, 69, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Curtin University dan kini menjawat beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF). - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28