Lelaki warga Myanmar maut ditikam

Iklan
Gambar hiasan

PUCHONG - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui dalam sebuah rumah kongsi di tingkat dua bangunan lot kedai berhampiran Pusat Perniagaan Bandar Puteri 1 semalam.

Difahamkan mayat tersebut ditemui dalam keadaan tidak berbaju dengan dua kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri dan kanan badan mangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu menerusi panggilan kecemasan 999 pada jam 10.02 malam.

"Sejurus tiba di lokasi, semakan pasukan forensik mendapati terdapat dua kesan dipercayai tikaman di sebelah kiri dan kanan dada mangsa.

Iklan

"Mayat berada dalam keadaan terlentang, tidak berbaju dan memakai seluar jeans," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata, lokasi kejadian itu berlaku di tingkat dua rumah kedai yang mana terdapat 10 buah bilik kecil dijadikan tempat tidur dengan tandas.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga turut menjalankan siasatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti penghuni lain di rumah kongsi tersebut.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan post mortem akan dibuat hari ini di Hospital Serdang bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Dalam pada itu, Ismadi berkata, tidak sampai tempoh 24 jam laporan diterima, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menangkap empat lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun di Bandar Puteri, Puchong.

Katanya, semua suspek terlibat dipercayai berada di lokasi semasa kejadian tersebut berlaku.

"Soal siasat diteruskan bagi mengetahui penglibatan suspek dan motif. Suspek utama telah dikenal pasti dan dipercayai cuba untuk melarikan diri.

"Kesemua mereka akan direman pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya dan siasatan lanjut kini diteruskan," katanya.