Jun Hao pamer karakter menakjubkan

Iklan
Jun Hao mempamerkan aksi mengagumkan sepanjang saingan BATC yang menutup tirai pada Ahad. Foto Sinar HARIAN-ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR (Gambar kecil: Mohamad Norza)

PEMAIN perseorangan lelaki, Leong Jun Hao boleh 'diangkat' sebagai watak penting dalam saingan skuad negara pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2024 di Shah Alam yang berakhir pada Ahad.

Pujian itu diberi oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melihat pemain yang menghuni ranking ke-38 dunia itu seolah-olah sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di pentas besar pada kejohanan akan datang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ketiadaan dua pemain perseorangan, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang terpaksa direhatkan akibat resdung serta kecederaan belakang adalah sesuatu yang di luar kawalan.

"Kita mempunyai kekuatan pada 2024, namun menghadapi pelbagai masalah kecederaan yang menyebabkan pasukan tidak beraksi pada kekuatan sebenar di final.

Iklan

"Walaupun gagal mempertahankan (kejuaraan), kita ingin mengucapkan tahniah kepada pemain yang telah memberikan segalanya untuk sampai ke peringkat final ini," katanya kepada media sejurus selepas penyampaian hadiah di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) pada Ahad.

Meskipun Malaysia tewas 0-3 kepada China dalam aksi final, Jun Hao mempamerkan semangat melawan ketika menentang pemain nombor 16 dunia Weng Hong Yang sebelum tumpas 19-21, 17-21 dalam tempoh 51 minit permainan.

Iklan

Pemain berusia 24 tahun itu meraih kemenangan semasa menentang Brunei, Kazakhstan, Taiwan dan Singapura dengan hanya dua kekalahan kepada Jepun serta China.

Malah Mohamad Norza turut menyifatkan Jun Hao sebagai pemain paling konsisten dan mempamerkan aksi yang sangat baik ketika pasukan memerlukannya.

"Jun Hao mampu menjadi prospek hebat untuk kami pada masa hadapan. Dia boleh menjadi pemain perseorangan ketiga dalam beberapa kejohanan berprestij seperti Sukan Komanwel,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kejayaan Malaysia mengalahkan Taiwan dan Jepun dalam saingan suku akhir pada 16 Februari dan separuh akhir membuktikan pasukan negara serius terhadap perjuangan mereka dalam kejohanan dwitahunan itu.

Justeru beliau optimis barisan kejurulatihan yang diketuai Rexy Mainaky akan bersikap proaktif dengan melakukan sesi 'bedah siasat' terhadap prestasi pemain bagi mengharungi saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, April depan.

"Kita automatik layak ke Piala Thomas (berada dalam kelompok empat terbaik BATC) dan yakin kalau buat persediaan yang lebih baik, kita mampu menyaingi kuasa besar terutamanya dalam merampas semula Piala Thomas (kali terakhir juara pada 1992).

"Jadi, saya rasa apa yang harus lakukan adalah kita sudah nampak laluan ke Piala Thomas dan saya berharap Rexy serta mereka yang lain dapat membina momentum tersebut ke Chengdu,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28