KLUANG - Dua pelajar dipercayai baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera parah selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 90 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 1.53 petang itu melibatkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang di sini.
"Kemalangan itu melibatkan motosikal Modenas Kriss dengan kereta jenis Naza Ria. Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Batu Pahat menghala ke Mersing manakala motosikal berkenaan dari SMK Kahang mahu keluar simpang masuk ke Jalan Bati Pahat-Mersing.
"Kereta tersebut kemudian tidak dapat mengelak motosikal pelajar tersebut yang masuk ke laluannya dan melanggarnya," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, Faiz Akmal Zarimi cedera di muka, tangan dan kaki kanan manakala pembonceng, Muhammad Adib Qayyum Mohd Heff’nie patah kaki kanan dan cedera.
Menurut Bahrin, kedua-duanya yang berusia 18 tahun dan beralamat di Kampung Sri Lukut menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.
"Bagaimanapun, pemandu kereta, Mahasan Mohd Fuad, 53, beralamat di Taman Suria di sini tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 62.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada jam 1.16 petang Isnin.
Bahrin berkata, kejadian tersebut mengorbankan Muhammad Nur Mustakim Seman, 32, beralamat di Kulai yang menunggang motosikal jenis Suzuki Belang R150.
"Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa seorang diri dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan setibanya di tempat kejadian sebelum terbabas ke tengah jalan dan melanggar besi pembahagi jalan di tengah jalan.
"Mangsa terjatuh di lorong kiri dan cedera parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik yang tiba di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28