TEMERLOH - Seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dari Jambatan Sultan Ahmad Sultan Ahmad Shah II dekat Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada Ahad ditemukan lemas pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, mangsa berusia 45 tahun itu ditemui pada jam 6 petang iaitu 10 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka.
Menurutnya, mangsa telah keluar dari rumah di Felda Seroja Jengka 18, Maran pada jam 12 tengah hari dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha Lagenda.
"Pada jam 6 petang hari sama, adik mangsa telah melihat group WhatsApp masjid kampung itu menyatakan motosikal yang dinaiki abangnya telah ditinggalkan di jambatan lebuh raya terbabit dan disahkan dinaiki mangsa ke tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, mangsa mempunyai penyakit PSY (Orang Kurang Siuman) mempunyai kad dan pernah mendapat rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bermula jam 2 petang tadi (Isnin) dengan kekuatan terdiri 37 orang melibatkan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam bersama enam bot.
"Mayat mangsa kemudian ditemui pada jam 6 petang dan dibawa naik ke darat pada 45 minit kemudian seterusnya dihantar ke HoSHAS untuk bedah siasat sebelum operasi mencari dan menyelamat(SAR) ditamatkan pada jam 7 petang," tambahnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.