MEMANDANGKAN kos sara hidup yang semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, rakyat mempunyai beberapa pilihan untuk terus bertahan.
Antara pilihan yang boleh dibuat ialah sama ada mengurangkan perbelanjaan atau menambah pendapatan.
Tinjauan di media sosial mendapati kebanyakan pengguna berpendapat bahawa menambah pendapatan itu jauh lebih mudah dari mengurangkan perbelanjaan harian atau bulanan.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, dianggarkan sebanyak 66.7 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menerima pendapatan di antara S$1,500 (RM5,330) hingga S$3,599 (RM12,780) manakala 18.5 peratus pula menerima gaji di antara S$3,600 (RM12,800) hingga S$9,999 (RM35,530) sebulan.
Menurutnya, dapatan berkenaan diperoleh menerusi dua kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam pada 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara: Singapura pada 2022.
Justeru itu, tidak dapat dinafikan bahawa majoriti rakyat Malaysia lebih memilih untuk bekerja di luar negara seperti Singapura dan Brunei disebabkan pendapatan yang lebih lumayan selain faktor berdekatan dengan negara.
Kadar pertukaran mata wang kedua-dua negara itu juga berlipat kali ganda dengan hanya bekerja di kedai makan iaitu hampir menyamai gaji dalam sektor korporat di Malaysia.
Walau bagaimanapun, timbul persoalan adakah ia sememangnya berbaloi untuk bekerja di luar negara?
Ini kerana, pengguna jalan raya terpaksa bersesak berjam-jam menaiki motosikal untuk memasuki negara itu dan kebanyakannya adalah rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor untuk bekerja demi sesuap nasi.
Mereka menganggap situasi tersebut merupakan perkara yang terpaksa diharungi sekiranya mahukan gaji lumayan.
Bagaimanapun, lain pula ceritanya apabila mereka terpaksa menetap di republik itu dengan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi dan membebankan.
Selain itu, trend rakyat Malaysia bekerja di luar negara semakin membimbangkan ditambah pula individu yang pakar dalam bidangnya enggan berbakti di tanah air sendiri.
Oleh itu, situasi itu perlu dipandang serius dan diambil tindakan segera oleh pihak bertanggungjawab agar Malaysia mampu berkembang dengan adanya pekerja berkemahiran tinggi dalam mengendalikan teknologi dan sebagainya.
Kumpulan mahir itu mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh memberi sumbangan positif kepada negara dan penghijrahan pakar dalam skala besar akan merugikan ekonomi negara kelak.