Podcast mengarut sembang isu merepek

Iklan
Sesi live atau podcast perlu ada garis panduan daripada kerajaan. - Gambar hiasan - 123RF

Penulis yakin ramai mengenali platform baharu yang sedang meningkat naik iaitu podcast. Digital audio yang dihasilkan dalam bentuk rakaman ini mula diperkenalkan sejak 2004 dan kadar penggunaannya kini semakin meluas.

Ia sebenarnya popular dalam kalangan masyarakat luar negara namun di Malaysia, masih belum digunakan secara meluas dan jika adapun hanya oleh kelompok tertentu.

Iklan
Iklan

Menerusi podcast, kita akan mendengar orang bercakap dan bercerita tentang sesuatu. Ia boleh jadi dalam bentuk siri perbincangan, ulasan, puisi, muzik, buku audio, berita atau dokumentari.

Bagaimanapun baru-baru ini, nama podcast tiba-tiba meledak, menjadi trending di semua platform media sosial, malah FYP di TikTok.

Iklan

Semuanya kerana seorang duda ‘panas’ dikatakan dijemput ke konti podcast oleh YouTuber yang tersohor dengan khidmatnya merungkai kecurangan pasangan.

Jika benar wujudnya sesi temu ramah itu, penulis musykil dengan motif dan mesej yang ingin disampaikan. Daripada content atau kandungan kecurangan, ingin beralih kepada topik persundalan pula kah?

Iklan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa haram podcast berunsurkan persundalan.

Menurut kenyataan itu, penggunaan podcast sebagai platform untuk membuka aib peribadi seseorang adalah termasuk dalam perbuatan menzahir kemaksiatan dan perbuatan ini diharamkan oleh syarak.

Apatah lagi menjadikan penzina sebagai tetamu undangan untuk menceritakan perbuatan maksiatnya tanpa rasa malu dan berdosa.

Walaupun kaedah ini berpotensi memberikan keuntungan dari sudut material, namun pada masa sama ia turut meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dengan mempromosikan penzina secara tidak langsung.

Pada pandangan penulis, lebih baik diangkat kisah anak-anak jalanan di tengah ibu kota yang berusaha untuk ‘terbang lebih tinggi’ dan ‘membebaskan diri’ daripada mewarisi kehidupan sebagai penghuni lorong gelap.

Misalnya kisah kemiskinan dan ketiadaan dokumen pengenalan diri buat dua gadis cekal, Puteri Arissa Mohd Noor, 21, dan Puteri Umira Abdul Razak, 21. Dari lorong gelap, mereka melangkah ke menara gading.

Kejayaan mereka melanjutkan pelajaran ke universiti membuktikan bahawa masih ada sinar untuk anak-anak jalanan ini.

Penulis kagum dengan keazaman dua bekas pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit ini untuk menoktahi rantaian kemiskinan yang diwarisi.

Bimbang dengan tingkah laku pencipta kandungan yang semakin berani, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengesyorkan kerajaan mengeluarkan garis panduan pengendalian live dalam media sosial termasuk saluran podcast agar isu sensitif tidak sewenang-wenangnya menjadi bahan mainan pengendalinya.

Presidennya, Zed Zaidi menegaskan, langkah itu penting bagi membendung isu ‘cakap lepas’ menyentuh soal yang tidak sepatutnya.

Kata beliau, sesi live atau podcast sudah jadi perkara yang dinormalisasikan dalam masyarakat sekarang namun pada masa sama, perlu ada garis panduan daripada kerajaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga mengingatkan pengendali podcast supaya mengamalkan kawalan kendiri kerana kerajaan belum berhasrat melaksanakan kawal selia ke atas platform terbabit.

Perihal live pula, penulis lihat eksplorasi mencari hantu kini mendapat tontonan tinggi di TikTok.

Penulis ada terdengar seorang daripada geng paranormal ini memberitahu, jika buat-buat takut maka mencanak lah view.

Penulis hanya berharap para pengendali podcast dan pencipta kandungan menjadi lebih bertanggungjawab.

Bukankah setiap orang mesti berusaha untuk menjaga ‘air muka’ sendiri dan orang lain.

Justeru, jangan sampai orang menyampah dan membenci gara-gara tiadanya common sense dalam diri.

* Asmaliza Mansor ialah penyunting Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28