KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin mengesahkan tiada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikemukakan setakat ini bagi persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 26 Februari ini.
"Tidak ada apa-apa surat permohonan untuk undi tidak percaya, saya tidak menerima apa-apa pun sama ada dalam bentuk hitam putih, e-mel atau panggilan, maknanya sehingga hari ini tidak ada apa yang akan berlaku kerana saya tidak menerima apa-apa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media dan agensi, berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen, di sini pada Isnin.
Mengenai perjalanan persidangan, Johari berkata, pihaknya akan memastikan mesyuarat kali ini berlangsung sebaiknya supaya darjat Parlimen diangkat sebagai tempat mulia dalam menggubal undang-undang negara.
Justeru beliau mengingatkan ahli Parlimen untuk berbahas secara berhemah, berfakta, tidak beremosi dan saling menghormati bagi menjaga kedudukan istimewa Parlimen.
"Saya dah bincang dengan timbalan-timbalan saya, supaya pada kali ini kami akan mematuhi Peraturan Mesyuarat dengan bersungguh-sungguh, kami akan memberi perhatian serius terhadap ahli Parlimen yang tak mengikut Peraturan Mesyuarat seperti yang termaktub.
Kerana waktu setahun berbulan madu sudah berakhir, sekarang adalah masa untuk berbincang secara serius untuk pelaksanaan... saya akan menyampaikan dengan panjang lebar pemasyhuran, maklumat dan garis panduan pada hari pertama, perkara yang patut dan tidak patut dilakukan dan kami akan mematuhi perkara yang patut dan tidak patut dilakukan supaya masyarakat akan lihat kita lebih serius dalam mengendalikan Parlimen," katanya.
Selain itu Johari berkata beliau menantikan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mempunyai visi tersendiri untuk negara sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka Baginda.
"Sudah tentu banyak keterujaan, terutamanya kami semua, di Parlimen untuk menghayati apakah titah Tuanku dan yang paling penting sekali bagaimana kita melaksanakan harapan Tuanku," katanya.
Dalam pada itu Johari berkata, Parlimen kini ke arah penggunaan tenaga boleh dibaharui dan bakal beroperasi menggunakan sistem suria pada Jun ini.
Katanya tender pemasangan sistem suria itu telah dilaksanakan dan Jabatan Kerja Raya sedang menguruskan pemasangan sistem tersebut bagi membolehkan ia direalisasikan sepenuhnya tahun ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28