KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan pemantauan kes pembakaran terbuka melalui pelbagai kaedah susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara kaedah pemantauan melalui titik panas berdasarkan laporan dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).
"Selain itu, kita turut melaksanakan pemantauan fizikal melalui makluman awam, bomba komuniti dan komuniti setempat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Ujar beliau, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memantau kes pembakaran terbuka.
"Intensiti pemantauan itu bergantung kepada keadaan cuaca setempat," ujarnya.
Tambah Nor Hisham, jumlah kumulatif laporan insiden kebakaran terbuka adalah sebanyak 2,813 kes direkodkan sejak 1 Januari hingga Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berkurangan dan menjadi neutral pada pertengahan tahun ini dan suhu dijangka akan kembali normal.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.
Katanya, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan secara lazimnya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan utara Semenanjung iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan pedalaman Pahang dan Kelantan.
Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
Cuaca panas yang dialami pada ketika ini di beberapa negeri di utara Semenanjung adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28