Penjaja disyaki guna pewarna terlarang pada ikan

Iklan
Anggota DBKK melakukan pemeriksaan di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu, susulan dakwaan ikan diletakkan pewarna.

KOTA KINABALU - Seorang penjaja disyaki meletakkan pewarna terlarang pada ikan.

Perbuatan itu dikesan dalam operasi dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Pasar Malam Inanam pada Isnin malam.

Iklan
Iklan

Ikan yang dipercayai diletakkan pewarna terbabit kemudian diambil untuk dijadikan sampel bagi mengenal pasti keberkesanan pewarna tersebut.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, sampel ikan tersebut dibawa ke makmal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan laporan ujian ke atas sampel akan dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Operasi Bahagian Pengurusan Penjaja bersama KKM dan JKPB DBKK bermula jam 7 malam hingga 9.30 malam di Pasar Malam Inanam mendapati terdapat seorang penjaja ikan disyaki meletakkan pewarna terhadap ikan yang dijualnya.

"Kita masih menunggu laporan terperinci oleh makmal KKM kemungkinan besar akan diperoleh dalam tempoh terdekat, sekiranya terbukti tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga ikan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Junainah berkata, operasi itu turut disertai KKM bagi mengesan peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan berdasarkan laporan daripada orang ramai.

"DBKK bersama KKM akan memperluaskan lagi operasi ini bagi memastikan peniaga ikan mematuhi arahan sekali gus bebas daripada menggunakan bahan pewarna terlarang bagi menjamin kesihatan pengguna," katanya.

Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa terdapat ikan yang dijual di Pasar Malam Inanam diletakkan pewarna bagi memastikan ikan tersebut kelihatan lebih segar.

Sehubungan itu, hantaran tersebut meminta orang ramai berhati-hati supaya tidak tertipu ketika membeli ikan.