MOSCOW - Yulia Navalnaya, balu kepada Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny berikrar akan meneruskan perjuangan suaminya untuk membebaskan Rusia dan menyeru penyokong untuk memerangi Presiden, Vladimir Putin dengan gelombang yang lebih besar berbanding sebelumnya.
"Saya mahu tinggal di Rusia yang bebas, saya mahu membina Rusia yang bebas," kata Navalnaya dalam mesej video bertajuk"Saya akan meneruskan kerja Alexei Navalny."
"Vladimir Putin membunuh suami saya," dakwa Navalnaya sambil menambah dia akan bekerjasama dengan rakyat Rusia untuk berperang dengan Kremlin untuk mewujudkan Rusia baharu.
Kremlin, bagaimanapun, telah menafikan penglibatan dalam kematian Navalny.
"Dengan membunuh Alexei, Putin membunuh separuh daripada saya - separuh daripada hati saya dan separuh daripada jiwa saya," kata wanita itu lagi.
"Tetapi saya masih mempunyai separuh lagi dan ia memberitahu saya bahawa saya tidak berhak untuk berputus asa. Saya akan meneruskan kerja Alexei Navalny, terus berjuang untuk negara kita.
"Saya menggesa anda untuk berdiri di sebelah saya.
"Saya minta anda berkongsi rasa marah dengan saya. Geram, marah, benci terhadap mereka yang berani membunuh masa depan kita," tegas Navalnaya lagi.
Dalam masa sama, Navalnaya menuduh pihak berkuasa Rusia menyembunyikan mayat suaminya dan menunggu jejak bahan saraf Novichok hilang dari tubuhnya.
"Kami tahu mengapa Putin membunuh Alexei.
"Kami akan memberitahu anda mengenainya tidak lama lagi. Kami pasti akan mengetahui siapa sebenarnya yang melakukan jenayah ini dan bagaimana sebenarnya. Kami akan menamakan nama dan menunjukkan muka (mereka)," ujar Navalnaya.
Navalny yang juga Ketua Pembangkang Rusia dilaporkan meninggal dunia di penjara Arkitik pada 16 Februari lalu.
Perkhidmatan penjara Rusia mengesahkan kematian Navalny yang sedang menjalani hukuman selama 19 tahun.
Navalny, 47, merupakan pemimpin pembangkang yang sering melontarkan kritikan terhadap amalan rasuah di bawah pentadbiran Putin.
Pendedahan yang dibuatnya mendapat jutaan tontonan di YouTube dan berjaya menarik puluhan ribu rakyat Rusia ke jalan raya biarpun terpaksa berdepan undang-undang anti protes yang tegas.
Navalny yang mempunyai ramai pengikut itu dipenjarakan pada awal 2021 selepas kembali ke Rusia dari Jerman.
Beliau sebelum itu dilaporkan pulih daripada serangan racun Novichok, sejenis racun saraf era Soviet yang hampir meragut nyawanya.
Navalny kemudiannya dihukum penjara 19 tahun, suatu tindakan yang mendapat kecaman kumpulan hak asasi manusia dan di Barat kerana hukuman itu dianggap sebagai pembalasan atas penentangannya terhadap Kremlin. - Agensi