SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan rombakan terhadap Majlis Pimpinan Negeri di enam negeri berkuatkuasa serta-merta.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 18 Februari lalu.
"Penyusunan ini telah mengambil kira semua pandangan bagi memastikan PKR terus kukuh dalam mendukung agenda reformasi di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden).
"MPP juga bersetuju saya menjadi pemantau untuk perjalanan parti di Perlis dan Kedah manakala (Datuk Seri) Aminuddin Harun akan memantau PKR di Melaka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, penyusunan tersebut melibatkan pimpinan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Jika sebelum ini Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, namun kini beliau hanya memberi tumpuan di Pulau Pinang.
Nurul Izzah akan dibantu Dr Mohamad Abdul Hamid yang bertindak sebagai timbalan pengerusi.
Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR akan mengetuai Majlis Pimpinan Negeri Perak dan Mohamad Hairul Amir Sabri sebagai timbalan pengerusi.
Di Negeri Sembilan, Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik pengerusi manakala Muhammad Nazri Kassim sebagai timbalannya.
Di Perlis, PKR melantik Noor Amin Ahmad sebagai pengerusi manakala Gan Ay Ling bertindak timbalan pengerusi.
Kedah menyaksikan Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah dilantik sebagai pengerusi dan Zamri Yusuf timbalan pengerusi, manakala Melaka, Mohd Rafee Ibrahim (pengerusi) dan R Jagatheason (timbalan pengerusi).
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28