TAWAU - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu dengan memberi butiran palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan Faedah Orang Tanggungan lima tahun lepas.
Tertuduh Muhamad Rajis Muhid, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Jason Juga selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Muhamad Rajis didakwa menipu Pengurus Pejabat Tempatan PERKESO Tawau, Joseph Immanuel dengan memberi penyataan tidak benar di bawah Seksyen 12C (2) dan (3) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bahawa dua anaknya tinggal bersamanya di Pejabat Tempatan PERKESO Tawau pada 27 Mac 2019.
Pernyataan itu mendorong Joseph meluluskan bayaran Faedah Orang Tanggungan anak masing-masing bernilai RM9.14 sehari.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara setahun hingga maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh dikehendaki melapor diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM dan diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Mac ini bagi pengurusan kes. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28