ALOR SETAR - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) akan mengorak langkah dalam mengangkat martabat Mahkamah Syariah dalam negara.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, cadangan meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui RUU355 ini bukanlah perkara baharu kerana pernah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini.
Menurutnya, diharapkan agar cadangan pindaan ini tidak lagi dibelenggu polemik berpanjangan yang tiada kesudahan.
"Kita sudah terlalu lama berbahas perkara yang tidak perlu sehingga menyebabkan langkah mengangkat martabat Mahkamah Syariah sering menemui jalan buntu.
"Apa yang lebih menyedihkan apabila ada usaha berterusan oleh sesetengah pihak yang merendah-rendahkan taraf Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara,” katanya di sini pada Selasa.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beberapa usaha memartabatkan RUU355 telah dimulakan oleh Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tahun 2016 dan 2017 menerusi pembentangan Rang Undang-undang Persendirian.
"Selain itu, pembentangan RUU355 yang sepatutnya dibentang untuk pindaan pada persidangan Parlimen penghujung Oktober 2022 juga tertangguh susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober tahun sama.
"Gesaan terhadap peluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah juga telah disuarakan oleh Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim sejak sekian lama, beliau merupakan tokoh undang-undang Islam negara dan diiktiraf sebagai bapa undang-undang Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, tindakan meminda dan meningkatkan hukuman di bawah Akta 355, iaitu tiga tahun penjara dan RM5,000 denda serta enam kali sebatan adalah wajar kerana ia suatu langkah susulan pasca pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988.
"DUPP yakin pindaan RUU355 akan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen Pas jika kerajaan Persekutuan bersedia untuk membentangkannya sekali lagi di Parlimen,” katanya.
Ahmad berkata, walaupun usaha ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah ketika ini turut digerakkan melalui Jawatankuasa Khas mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam, namun ia tetap akan melibatkan peningkatan hukuman yang dihadkan di bawah Akta 355.
"Di sinilah bermulanya benih untuk martabatkan Mahkamah Syariah yang perlu disemai semula,” jelasnya.
Pada Ahad, media melaporkan, laporan RUU 355 akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, sesi libat urus dikendalikan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah berada di peringkat akhir.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28