BENTONG - Selepas tiga hari, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor yang hilang ketika beriadah di Air Terjun Lata Hammer dekat Jalan Lama Bentong-Gombak di sini ditemukan lemas pada Selasa.
Mangsa, Muhamad Hafiz Khairul Azmi, 22, berasal dari Janda Baik di sini ditemukan pada jam 11.50 pagi dalam keadaan terapung kira-kira lima meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, Unit K9 terdiri daripada tiga anggota dan dua anjing pengesan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Selasa.
"Turut terlibat pelbagai agensi berkaitan dan orang awam pada operasi hari ini serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bukit Angin, Temerloh.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, mangsa bersama tujuh rakannya ke lokasi berkenaan untuk beriadah.
"Salah seorang rakan mangsa juga memaklumkan sebelum kejadian, dua wanita yang tidak dikenali hampir lemas namun berjaya diselamatkan oleh pengunjung.
"Dalam keadaan kelam-kabut, mereka mendapati salah seorang rakan iaitu mangsa hilang ketika berada di kawasan air tersebut," katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28