SHAH ALAM - Prestasi ringgit ketika ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa hadapan dan diyakini terus meningkat dalam tahun ini.
Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan pada 2024 akan didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.
Menurutnya, sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dengan kedatangan pelancong pada 2024 dijangka melebihi paras pra-pandemi sebanyak 26 juta.
"Ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terkini ialah perdagangan global bertambah baik daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus pada 2024.
"Bagi Malaysia, eksport menunjukkan penambahbaikan yang stabil sejak suku keempat 2023.
"Malah, pada Januari, eksport telah bertukar positif ( 8.7 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai mata wang tempatan terus merekodkan prestasi lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini.
Mata wang tempatan merekodkan prestasi lemah setakat 9 pagi Selasa dengan ringgit berkurangan kepada 4.787/7930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.785/7890 semasa ditutup pada Isnin.
Penurunan berterusan ringgit berpotensi meletakkan mata wang tempatan itu melepasi rekod paras terendahnya ditambah pula dengan kelemahan eksport serta pengukuhan dolar AS.
Abdul Rasheed menjelaskan, prestasi semasa ringgit ini dipengaruhi oleh faktor luaran sama seperti mata wang serantau lain.
"Beberapa faktor ini termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian sekitar prospek ekonomi China," katanya.
Bagaimanapun katanya, momentum pelaburan telah meningkat dengan pelaksanaan projek yang diluluskan baik di sektor swasta mahupun awam.
"Perkembangan positif ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan penurunan kadar faedah secara lebih awal ekonomi.
"Kebanyakan penganalisis meramalkan nilai ringgit meningkat tahun ini," katanya.