Penyeludup panik, buang daun ganja segar ke laut

Iklan
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kilogram daun ganja segar dalam tong kuning ini.

LANGKAWI - Panik dengan kehadiran bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), suspek sanggup membuang daun ganja segar ke laut sebelum melarikan diri ke arah sempadan Thailand.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, daun ganja segar tersebut yang cuba diseludup masuk dari negara jiran dirampas pada kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langgun sekitar jam 10 malam Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rampasan bernilai lebih RM6,000 itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk diproses dan dijual kepada rakyat tempatan.

"Ketika bot Maritim Malaysia melakukan rondaan, kita mengesan sebuah bot fiber sedang bergerak laju dalam keadaan gelap.

Iklan
Anggota penguat kuasa Maritim Malaysia merampas daun ganja segar diisi dalam tong kuning yang cuba diseludup dari Thailand.

Romli berkata, hasil pemeriksaan ke atas tong berwarna kuning yang dibuang pihaknya menemui daun ganja segar dengan anggaran berat dua kilogram.

"Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Iklan
Tong kuning mengandungi daun ganja segar yang dibuang suspek ke laut sebelum melarikan diri.

Menurutnya lagi, susulan itu, Maritim Malaysia Kedah/Perlis merangka pelan tindakan bagi menangani kegiatan itu daripada berleluasa.

"Aset-aset Maritim Malaysia diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa selain meningkatkan intipan, rondaan dan kawalan di lokasi panas serta melaksanakan operasi khas bersama Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim,” katanya.

Romli berharap orang ramai dan persatuan nelayan memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan bagi membanteras penyeludupan dadah dan daun ketum.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28