MERBOK - Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) yang kudung kaki kiri nyaris lemas apabila kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai dekat Chalet Segantang Garam di sini pada Selasa.
Mangsa dikenali Liang Ah Kaw, 70, bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan separa sedar selepas berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Saksi kejadian, Mohd Fadzil Mahamud, 40, berkata, dia berada di rumah berdekatan sungai ketika kejadian sebelum dipanggil rakan untuk membantu menyelamatkan seorang pemandu tersebut dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari.
"Ketika dipanggil, saya kemudian bergegas ke lokasi dan terjun ke dalam sungai berkenaan bersama dua lagi rakan yang telah berada di tebing.
"Ketika itu kereta berkenaan hampir tenggelam manakala pemandunya didapati tidak sedarkan diri dan kami bertiga terpaksa memotong tali pinggang keledar yang dipakainya," katanya.
Mohd Fadzil berkata, dia dan rakannya kemudian menarik mangsa ke tebing dan terkejut selepas mendapati lelaki itu memakai kaki palsu sebelah kiri.
"Sebaik sampai ke tebing, kami dapati mangsa tidak sedarkan diri dan kami bertiga bergilir-gilir menekan dadanya memberikan rawatan awal.
"Lebih kurang lima minit kemudian, mangsa mula sedar dan muntah serta keluar air yang banyak dari hidung dan mulutnya," jelasnya.
Menurut Mohd Fadzil, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas ketika mengambil selekoh di kawasan itu sebelum menggelongsor dan terjunam ke dalam sungai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 1.13 petang sebelum sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setelah diarahkan Pusat Gerakan Operasi Kedah ke lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta terbabas ke dalam sungai berkenaan.
"Mangsa yang juga pemandu kereta telah diselamatkan penduduk dan dilaporkan berada dalam keadaan separa sedar," katanya.
Jelas beliau, rawatan awal telah diberikan kepada mangsa dan dirujuk ke hospital dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut melakukan pencarian di sekitar lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain dalam kenderaan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28