PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara (JAN) akan melaksanakan perkongsian maklumat secara berterusan, pengetahuan serta latihan menerusi Nota Kerjasama yang dimeterai.
Ketua Pesurujaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, perkongsian itu mengukuhkan penglibatan kedua-dua pihak dalam pengesanan awal segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh menjejaskan imej kerajaan, mengancam kesejahteraan masyarakat, melunturkan nilai-nilai integriti, menghalang perkembangan dan pembangunan sosial, ekonomi serta politik negara.
"Instrumen kerjasama tersebut adalah penting untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dan persefahaman yang lebih relevan supaya usaha pembangunan modal insan pegawai dan pembanterasan rasuah termasuk perihal tatakelola agensi-agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dengan berkesan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, Nota Kerjasama berkenaan akan memberi impak yang tinggi terutamanya untuk membantu SPRM dalam menyokong usaha kerajaan ke arah negara yang berintegriti dan bebas rasuah.
"Ini menggambarkan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada JAN untuk membantu SPRM dalam memerangi jenayah rasuah bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara," jelasnya.
Tegas Azam, SPRM akan terus mengorak langkah dengan penuh komitmen dan konsisten untuk
membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan dari ketirisan serta memastikan perolehan kerajaan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Nota Kerjasama itu disempurnakan oleh Azam dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi bertujuan memperbaharui bentuk kerjasama yang telah termeterai oleh kedua belah pihak sejak tahun 2012.
Nota Kerjasama baharu ini memberi tumpuan kepada skop kerjasama meliputi aspek program perkongsian maklumat dan pengetahuan serta latihan antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Akademi Audit Negara (AAN).
Sementara itu Wan Suraya berharap Nota Kerjasama berkenaan dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala kedua-dua institusi.
"SPRM dan JAN adalah dua institusi utama negara yang mempunyai hubungan, peranan dan tanggungjawab yang saling berkait.
"Oleh itu, latihan bersama akan dirangka dan dilaksanakan oleh AAN dan MACA secara kerjasama dalam usaha meningkatkan kompetensi dan kepakaran pegawai kedua-dua pihak secara berterusan," katanya.
Tambah beliau, SPRM dan JAN juga boleh bekerjasama membantu pegawai dari kedua-dua agensi yang berminat untuk mengambil kelayakan profesional lain berkaitan pengauditan seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Fraud Examiner (CFE).